My Add

Monday, 23 September 2013

150 penunggang promosi BN Youth Job Fair

 *NAZIR Hussin Akhtar Husin (depan) bersama sukarelawan program mengedar risalah tentang BN Youth Job Fair 2013 kepada orang ramai di Bukit Bintang, Kuala Lumpur, semalam.
KUALA LUMPUR, AHAD, 22 September, 2013: Kira-kira 150 penunggang motosikal berkuasa tinggi Ducati dan Kawasaki Versy hadir di pekarangan Lot 10 di sini bagi mengedarkan risalah berkenaan BN Youth Job Fair (BNYJF) yang bakal berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 27 hingga 29 September ini.

Pengedaran risalah itu bermula dari Kuala Lumpur City Centre (KLCC), sekitar pusat beli-belah Sogo dan berakhir di pekarangan Lot 10.

Kehadiran penunggang dan motosikal berkuasa tinggi itu semasa mengedarkan risalah tersebut bertujuan untuk menarik minat golongan belia yang berada di persekitaran kawasan Bukit Bintang untuk datang dan mendapatkan maklumat tentang BNYJF.

Pengerusi BNYJF, Nazir Hussin Akhtar Husin, berkata, selain menawarkan peluang pekerjaan, pengunjung karnival boleh mendapatkan maklumat kemudahan skim latihan, keusahawanan serta pinjaman yang disediakan agensi-agensi kerajaan dan kementerian terlibat.

Menurutnya, karnival itu turut memperkenalkan segmen baharu perniagaan dalam talian yang akan menampilkan pakar motivasi, Datuk Dr. Azizan Osman.

"Kita wujudkan segmen ini kerana kecenderungan anak muda terhadap perniagaan dalam talian. Azizan akan berkongsi rahsia kejayaannya dalam kursus dan taklimat," katanya ketika berucap dalam majlis pelancaran promosi BNYJF di sini hari ini.

Nazir menambah, untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang karnival berkenaan, golongan belia boleh memuat turun aplikasi BN Youth Job Fair App Mobile yang disediakan menggunakan perisian iTunes, Android dan Blackberry.

"Dengan menggunakan aplikasi ini, mereka boleh menyemak terlebih dahulu kekosongan jawatan yang diminati sebelum datang ke BNYJF. Ini memudahkan pencari pekerjaan membuat persediaan untuk hadir pada hari tersebut apabila maklumat-maklumat diperoleh lebih awal," ujarnya.

Sementara itu, sukarelawan BNYJF, Ahmad Azwan, 26, berkata, pameran pekerjaan ini merupakan platform terbaik untuk golongan belia mendapatkan pekerjaan kerana banyak peluang dalam pelbagai bidang ditawarkan.

Pekerja swasta, Mimi Nurul Merryon, 22, berkata, golongan belia yang masih menganggur perlu mengambil kesempatan ini untuk mendapatkan pekerjaan yang sesuai memandangkan banyak syarikat yang menyertai karnival berkenaan.

Menurut penunggang motosikal berkuasa tinggi, Ahmad Fairus, 34, pula, kumpulannya menyokong penuh usaha yang dijalankan kerajaan untuk membuka peluang pekerjaan kepada golongan muda, sekali gus dapat meningkatkan taraf kehidupan, ekonomi rakyat dan negara. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment