3 sekeluarga maut nahas 3 kenderaan
KUANTAN, ISNIN, 23 September, 2013: Sepasang suami isteri bersama seorang cucu maut selepas kereta dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan dengan dua kenderaan lain di Jalan Kuantan-Sungai Lembing berdekatan Kampung Bukit Kuin di sini malam tadi.
Dalam nahas yang berlaku pukul 7.45 malam itu, Wan Hassan Basri, 53, dan isteri Zainab Yatim, 57, mati di tempat kejadian manakala cucu mereka, Nur Ameera Amran yang baru berusia setahun meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan.
Dua lagi penumpang Proton Iswara iaitu ibu bayi berkenaan, Rohilah Ismail, 39, dan anak pasangan suami isteri itu, Mohd. Faizullah, 24, cedera parah namun kini dilaporkan stabil.
Pegawai Penguat Kuasa Tadbir/Trafik negeri, Asisten Supritendan Zainalabidin Othman berkata, ketika kejadian keluarga itu dalam perjalanan dari rumah mereka di Kampung Charu, Sungai Lembing menghala ke bandar Kuantan.
"Bagaimanapun sebaik sahaja tiba di tempat kejadian, kereta dipandu Wan Hassan dipercayai cuba memotong sebuah lori tangki yang membawa muatan minyak sawit.
"Namun mangsa gagal memotong lori tersebut menyebabkan keretanya bertembung dengan sebuah Proton Waja yang datang dari arah bertentangan," katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, perlanggaran itu turut mengakibatkan lori minyak sawit yang cuba dipotong oleh kereta mangsa terbabas dan terbalik di laluan bertentangan menghala ke Kuantan.
"Suami isteri tersebut maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan manakala bayi tersebut meninggal dunia selepas tiga jam menerima rawatan di hospital," katanya.
Bagaimanapun menurut beliau, pemandu Proton Waja dan pemandu lori terlibat hanya mengalami kecederaan ringan.
Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan, katanya.
Sementara itu, adik ipar Zainab, Saparudin Gani, 56, berkata, kehilangan tiga ahli keluarga serentak dalam kemalangan itu amat mengejutkan mereka sekeluarga.
"Saya menerima panggilan daripada ibu mentua, Hani Abdullah mengenai kejadian dan bergegas ke hospital. Mulanya ibu mentua memaklumkan hanya Wan Hassan saja meninggal, namun sebaik sahaja tiba di hospital baru saya tahu mengenai kematian Zainab dan Nur Ameera.
"Sebelum kejadian, mereka semua dalam perjalanan menghantar Wan Mohd. Faizullah ke Terminal Sentral Kuantan. Mujurlah Wan Mohd. Faizullah dan Rohilah terselamat dalam nahas itu," katanya.
Menurutnya, jenazah mangsa dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Panching dekat sini kira-kira pukul 2 petang ini. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment