My Add

Tuesday, 24 September 2013

Pindaan PCA 1959 perlu sokongan semua

KUALA LUMPUR, ISNIN, 23 September, 2013: Pindaan Akta Pencegahan Jenayah (PCA) 1959 dalam memastikan pengukuhan kuasa Polis Diraja Malaysia (PDRM) ekoran pemansuhan beberapa akta lain memerlukan sokongan semua terutama pemimpin-pemimpin pembangkang.

Hal tersebut ditegaskan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang memandang serius usaha membanteras kegiatan jenayah khususnya menerusi Ops Cantas yang sehingga 18 September lalu sebanyak 212,259 orang yang disyaki terlibat kegiatan kongsi gelap telah dibuat tapisan manakala 8,898 orang lagi ditangkap.

Sambil menafikan dakwaan bahawa operasi itu yang dilaksanakan bagi mengesan anggota kongsi gelap atau gangsterisme akan dihentikan pada 19 Oktober ini, menurutnya, pindaan PCA 1959 merupakan satu undang-undang yang bakal 'digeruni' dalam membanteras jenayah selepas Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Akta Kediaman Terhad (RRA) dan Ordinan Darurat (EO) dimansuhkan.

''Apa yang akan kita lakukan, oleh kerana undang-undang itu hanya meliputi Semenanjung sahaja, maka profil tambahan akan memasukkan supaya merangkumi Sabah dan Sarawak serta Labuan.

''Di samping itu, ada 10 undang-undang yang terlibat apabila PCA ini dibentangkan di Dewan Rakyat yang mana 'pindaan selari' akan saya bentangkan dan saya harap ia juga melibatkan keprihatinan dan kepedulian pembangkang untuk turut menyokong pindaan ini," katanya dalam sesi Dewan Rakyat hari ini.

Ahmad Zahid yang menyentuh mengenai pindaan PCA 1959 berkata demikian ketika menjawab soalan-soalan tambahan daripada Datuk Seri Abdul Ghapur Salleh (BN-Kalabakan); Datuk Seri Abdul Hadi Awang (Pas-Marang) dan Lim Lip Eng (DAP-Segambut) yang antara lain melahirkan kebimbangan terhadap kadar jenayah di negara ini.

Ahmad Zahid memberitahu, sejak EO dan RRA dimansuhkan, seramai 9,095 penjenayah yang ditahan serta disiasat telah dibebaskan dan berasimiliasi dengan masyarakat.

''Mereka ini yang memperlekeh tugas-tugas polis. Oleh itu, saya fikir undang-undang (pindaan) PCA 1959 yang digeruni inilah akan dapat membanteras jenayah," jelasnya.

Menyentuh mengenai Ops Cantas, kejayaan yang paling ketara dalam tempoh operasi itu adalah penurunan jenayah indeks terutama kes yang melibatkan jenayah kekerasan seperti bunuh yang menurun hampir 42 peratus daripada 69 kes kepada 40 kes dalam tempoh sebulan operasi dijalankan.

Di samping itu katanya, sebanyak 214 kertas siasatan telah dibuka di bawah Akta Pertubuhan 1966 dan 46 kes fail dibuka di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959.

Menurutnya, daripada jumlah yang ditangkap, seramai 3,842 orang merupakan bangsa Melayu, 2,485 orang (India) dan 1,088 orang (Cina) dan kaum-kaum lain (1,227 orang). - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment