My Add

Tuesday, 24 September 2013

Chin Peng bukan warganegara

Oleh MOHD. AZRAIE MD. YUSOF dan MD. AZRIN ROSLY

KUALA LUMPUR, ISNIN, 23 September, 2013: Selain menjaga sensitiviti rakyat negara ini, ketiadaan taraf warganegara merupakan antara alasan kukuh kerajaan bertegas tidak membenarkan abu mayat bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng dibawa masuk dan disemadikan di negara ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, melalui semakan yang dibuat di Jabatan Pendaftaran Negara, tiada rekod menunjukkan Chin Peng pernah memohon atau berdaftar sebagai warganegara Malaysia.

''Kerajaan pernah menawarkan (warganegara) kepadanya tetapi dia tidak pernah mengemukakan permohonan. Dia tak hantar borang bermakna dia menolak menjadi warganegara.

''Dengan alasan itu dan ditambah dengan peristiwa kekejaman yang dilakukannya, kerajaan terus berpendirian bahawa abu mayatnya tidak boleh dibawa masuk ke negara ini," katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen di sini hari ini.

Beliau mengulas tindakan pelbagai pihak yang menggunakan isu undang-undang untuk 'melawan' penegasan kerajaan bagi membolehkan mayat atau abu Chin Peng dibawa masuk ke negara ini.

Ahmad Zahid menambah, isu pokok bukan mengenai abu tersebut tetapi tindakan menyemadikannya bagi tujuan memperingati atau memberi pengiktirafan kepada Chin Peng sama sekali tidak boleh diterima.

''Kita perlu melihat aspek kekejaman komunis yang membunuh ribuan nyawa termasuk anggota keselamatan.

''Kalau Chin Peng diangkat menjadi peringatan, bayangkan betapa terhirisnya perasaan keluarga mangsa yang terbunuh semasa dia mengetuai PKM," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment