Jangan hanya tahu mengkritik, tegur Najib
SAN FRANCISCO, ISNIN, 23 September, 2013: Datuk Seri Najib Tun Razak menegur sesetengah kumpulan rakyat Malaysia di luar negara, yang hanya tahu mengkritik kerajaan tetapi tidak memberi sebarang sumbangan untuk kemajuan negara.
Perdana Menteri berkata, kumpulan seperti ini, tidak sepatutnya membuat kritikan negatif mengenai negara berdasarkan dakwaan yang dibuat sesetengah pihak atas kepentingan politik mereka.
"Orang seperti ini akan mengkritik negara tetapi tidak mempunyai sebarang idea bagaimana untuk memberi sumbangan kepada negara," katanya dalam satu majlis makan malam yang dihadiri pelajar dan rakyat Malaysia, di Hotel Grand Hyatt San Francisco di sini semalam.
"Kita tidak kisah akan kritikan itu, tetapi jangan percayakan mereka," katanya sambil menambah bahawa beliau yakin mereka (rakyat dan pelajar Malaysia) mampu untuk berfikir dan memutuskan sendiri sama ada dakwaan itu betul atau sebaliknya.
Najib berkata, banyak lagi rakyat Malaysia yang menetap di seberang laut yang aktif dari segi ekonomi, mempunyai strategi yang baik, berdaya saing dan kebiasaannya berjaya dalam hidup.
"Saya telah bertemu dan berbual dengan sesetengah daripada mereka, dan mereka sangat berbangga menjadi rakyat Malaysia," katanya.
Beliau berkata, Malaysia telah menjadi sangat berjaya dari sebuah ekonomi kecil berasaskan pertanian dan kini begitu pesat membangun sehingga berada di tahap yang ada sekarang.
"Kita telah menetapkan objektif yang berani dan sasaran yang boleh diusahakan dan dicapai dan ini adalah penting untuk membangunkan negara," katanya.
Najib berkata, adalah penting bagi masyarakat berbilang kaum, budaya dan agama seperti di Malaysia untuk mengukuhkan perpaduan di antara mereka bagi memacu negara sehingga ke peringkat lebih tinggi.
"Malah dengan purata 5 hingga 7 peratus pertumbuhan ekonomi setahun, kita dapat mencapai objektif Wawasan 2020 (menjadi sebuah negara maju dan berpendapatan tinggi) seawal 2018, atau paling lewat menjelang 2020. Wawasan 2020 kita masih berada di landasan," kata Najib.
Beliau berkata, rakyat Malaysia menikmati pendapatan perkapita yang tinggi berbanding rakyat di negara lain, dan menjadi tugas kerajaan untuk memastikan kekayaan negara dikongsi secara saksama di kalangan masyarakat.
"Jika kecil kekayaan negara, kita perlu berkongsi dengan peratusan yang kecil, supaya ia tidak mewujudkan ketidakstabilan politik dan sosial," katanya.
Beliau memberi jaminan bahawa kerajaan akan memberi keutamaan kepada pendidikan dan akan membelanjakan lebih banyak untuk mendidik rakyat dalam Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains.
"Ia penting untuk disedari bahawa kita perlu mewujudkan persekitaran yang kondusif. Kita perlu bekerja keras dan bertungkus lumus untuk mendapatkan keselamatan dan kestabilan yang kita nikmati di negara sekarang, supaya anda boleh berani untuk bermimpi impian besar.
"Budaya inovasi dan kemahiran keusahawanan akan membawa negara ke barisan hadapan. Kita perlu berusaha untuk mengetengahkan Malaysia di pentas global supaya Malaysia akan sentiasa berada di barisan hadapan sebagai sebuah negara yang aman dan berjaya. Fikirkan bagaimana anda boleh menyumbang untuk Malaysia," kata Perdana Menteri.
Kira-kira 300 rakyat Malaysia termasuk pelajar yang tinggal di San Francisco dan kawasan sekitar, menghadiri majlis makan malam itu.
Turut hadir isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek; Menteri Pendidikan Kedua Datuk Seri Idris Jusoh; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr. Ewon Ebin; Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Konsul Jeneral Malaysia di Los Angeles, Nekmat Ismail.
Najib berada di Amerika Syarikat untuk lawatan kerja mulai 22 hingga 29 September untuk mempengerusikan mesyuarat ketiga Majlis Penasihat Sains dan Inovasi Global (GSIAC) di San Francisco dan menghadiri sesi ke-68 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) di New York. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment