Dakwaan ternyata tidak berasas
PUTRAJAYA, SABTU, 31 Ogos, 2013: Dakwaan penyelewengan berhubung pembukaan sebuah akaun mencurigakan merupakan suatu tindakan tidak berasas, kata Ketua Wanita UMNO Bahagian Baling, Datuk Dr. Mashitah Ibrahim.
Beliau berkata, dakwaan itu ternyata tidak betul kerana perkara tersebut sebenarnya tidak berlaku.
"Perkara ini sebenarnya telah timbul dua tahun lalu dan siasatan telah pun dijalankan terhadap pertuduhan itu.
"Tetapi tuduhan ini tidak berasas dan tiada bukti. Kalau betul, sudah lama saya diambil tindakan oleh pihak berkuasa," katanya ketika ditemui Mingguan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas dakwaan isu pembukaan sebuah akaun bank mencurigakan dua tahun lepas oleh bekas Setiausaha Wanita UMNO Bahagian Baling sesi 2008/2012, Norhashiah Ibrahim.
Norhashiah mendakwa namanya digunakan sebagai salah seorang daripada tiga penama untuk membuka akaun bank tersebut.
Pada masa sama, Mashitah berkata, dakwaan tidak berasas itu merupakan salah usaha taktik kotor daripada pihak tertentu untuk menjatuhkan kerjaya politiknya.
"Perkara ini tidak sepatutnya berlaku menjelang pemilihan parti Oktober ini kerana tindakan tersebut menunjukkan wujudnya persaingan tidak sihat.
"Kita kalau mahu bertanding, gunakanlah cara bersih, kenapa mahu memburukkan orang lain?," katanya.
Tambahnya, beliau tidak gentar dengan usaha tersebut kerana dalam hal seperti itu, seseorang ahli politik perlu bertindak sebagai pejuang. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment