Pulih dalam tempoh seminggu
Oleh ROSALINDA MD. SAID
KUALA LUMPUR, SABTU, 31 Ogos, 2013: Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas) memberi jaminan pemulihan bekalan air terawat secara berperingkat bagi kawasan-kawasan yang masih terjejas akan mencapai ke tahap 80 peratus dalam tempoh tiga hari lagi sementara pulih sepenuhnya dalam tempoh seminggu.
Penolong Pengurus Besar, Jabatan Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Awam Syabas, Priscilla Alfred (gambar) berkata, setakat pukul 10 pagi ini, beberapa kawasan pengguna yang terlibat sudah mula menerima semula bekalan air walaupun mengalami tekanan rendah.
"Dianggarkan jumlah akaun pengguna yang terjejas telah menurun kepada kira-kira 880,000 dan merupakan 60 peratus daripada jumlah pengguna di enam wilayah iaitu Petaling, Kuala Lumpur, Klang/Shah Alam, Gombak, Kuala Selangor serta Hulu Selangor.
"Keseluruhan kawasan yang terlibat dengan gangguan bekalan air di Kuala Langat telah menerima bekalan air semula sepenuhnya," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Semalam, Syabas mengaktifkan Pelan Tindakan Kecemasan Kod Merah bagi tujuh wilayah iaitu Petaling, Kuala Lumpur, Klang/Shah Alam, Gombak, Hulu Selangor, Kuala Langat dan Kuala Selangor kerana empat loji rawatan air (LRA) yang diuruskan oleh Puncak Niaga Holdings Bhd. dan Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn. Bhd (Splash) terpaksa dihentikan sementara operasinya akibat pencemaran tumpahan minyak diesel yang berlaku di hulu sungai di sekitar kawasan Rawang.
Penutupan sementara operasi di LRA Sungai Selangor Fasa 1 (SSP1), LRA Sungai Selangor Fasa 2 (SSP2), LRA Sungai Selangor Fasa 3 (SSP3) dan Rantau Panjang itu dijangka menjejaskan bekalan air kepada 240,000 akaun atau hampir sejuta orang pengguna di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Walau bagaimanapun, menurut Priscilla, keempat-empat loji berkenaan sudah kembali beroperasi sekitar pukul 3 pagi ini manakala bekalan air terawat mula disalurkan ke sistem agihan dari setiap loji rawatan air sejak kira-kira pukul 6 pagi.
Katanya, Syabas turut menggerakkan kesemua sumber bagi penghantaran bekalan air melalui lori tangki dan tangki statik kepada pengguna terjejas.
Jelasnya, sehingga kini, sebanyak 46 lori tangki digerakkan ke kawasan yang terlibat, 20 tangki air statik diletakkan di lokasi-lokasi strategik manakala 505 tangki statik dalam keadaan tunggu sedia.
"Pihak Syabas juga menerima bantuan sebanyak 14 lori tangki dari negeri-negeri lain iaitu Syarikat Air Johor (6 buah), Lembaga Air Perak (6 buah) dan Syarikat Air Negeri Sembilan (4 buah).
"Kesemua lori tangki ini sedang dalam perjalanan ke Selangor," katanya.
Dalam perkembangan sama, Priscilla menasihatkan pengguna yang terlibat agar bersabar dan menggunakan bekalan air yang diterima untuk tujuan utama sahaja.
Hal ini kerana katanya, jumlah pengguna yang ramai sekali gus menyukarkan Syabas untuk menyediakan sumber mencukupi bagi memenuhi keperluan setiap pengguna. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment