My Add

Tuesday, 24 September 2013

IPGM sokong 27 kampus bergabung

KUALA LUMPUR, ISNIN, 23 September, 2013: Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) menyokong cadangan menggabungkan 27 kampusnya di bawah universiti pendidikan tetapi perkara itu harus diberi penekanan dalam bidang perguruan.

Rektor IPGM, Sulaiman Wak berkata, institusi tersebut sememangnya berstatus universiti dengan semua kampusnya berada dalam satu entiti iaitu di bawah pentadbiran mereka.

Menurut beliau, cadangan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pendidikan untuk menukar nama IPGM kepada universiti pendidikan bukan satu masalah

"Bagaimanapun jika terdapat cadangan meletakkan IPG di bawah universiti lain, langkah itu perlu dikaji semula kerana membabitkan pelbagai perkara.

"Kita yakin IPG mampu melahirkan guru yang profesional dalam melaksanakan tanggungjawab kerana institusi ini ditubuhkan bagi mewujudkan guru sekolah rendah yang berkualiti dan melatih guru bertaraf ijazah," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas melancarkan Program Minggu Integriti bersama Institut Integriti Malaysia (IIM) bertemakan Amalan Berintegriti Pendidikan Berkualiti di IPG Kampus Bahasa Melayu di sini hari ini.

Yang turut hadir ialah Presiden IIM, Datuk Dr. Mohd. Tap Salleh dan Pengarah IPG Kampus Bahasa Melayu, Datuk Siti Hanifah Madarsa.

Tambah Sulaiman, pelan pendidikan juga telah menyatakan bahawa IPGM bergerak sebagai universiti guru dan jika diperkasakan lagi, institusi itu mampu berdiri untuk menjadi sebuah universiti sendiri yang hanya memfokuskan dalam melahirkan guru sekolah rendah yang berkaliber.

Dalam pada itu, Mohd. Tap menjelaskan, program seperti itu dilaksanakan IIM sebagai satu wadah pendidikan.

"Pelajar IPG merupakan peneraju yang boleh merealisasikan integriti melalui pembelajaran dan sebagai seorang guru, mereka bukan sahaja melahirkan pelajar cemerlang tetapi kewibawaan guru dinilai dari segi keupayaan mendidik murid menjadi insan yang beretika," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment