My Add

Tuesday, 24 September 2013

Jimat perbelanjaan kerajaan

Oleh METRA SYAHRIL MOHAMED
 
 
KUALA LUMPUR, ISNIN, 23 September, 20`13: Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) yang menjangkaui kerjasama Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Pertahanan terbukti menzahirkan banyak faedah serta menyumbang kepada penjimatan perbelanjaan kerajaan.

Berhubung perkara itu, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengambil contoh inisiatif mengoptimumkan Pusat Latihan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sedia ada sebagai pusat latihan untuk anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang baharu dilantik seperti di Pusat Latihan Asas Tentera DArat dan KD Sultan Ismail.

Menurutnya, dalam hal tersebut, kerajaan dapat meminimumkan keperluan pembinaan pusat latihan baharu untuk aktiviti latihan PDRM yang dianggarkan berjumlah RM711 juta bagi sebuah pusat latihan.

''Pusat Pemulihan Pemasyarakatan pula telah memberi kesan penjimatan yang mana kerajaan tidak lagi perlu membina penjara baharu. Kos bagi pembinaan sebuah penjara baharu menelan belanja antara RM50 juta hingga RM60 juta berbanding kos bagi pembinaan sebuah pusat pemulihan yang diselaraskan di kem-kem tentera yang dikenal pasti dianggarkan hanya antara RM4 hingga M6 juta.

''Menerusi inisiatif pusat itu juga, banduan-banduan turut diberi latihan dan kemahiran untuk dapat hidup berdikari serta menyumbang kepada peningkatan sosio ekonomi apabila dibebaskan kelak," katanya dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan asal Rubiah Wang (BN-Kota Samarahan) yang ingin tahu sejauh mana kejayaan pelaksanaan NBOS dan jumlah penjimatan yang diperoleh kerajaan.

Hishammuddin berkata, program-program berbentuk rondaan bersama antara ATM dan PDRM pula turut menyumbang kepada usaha pengurangan kadar jenayah seperti dilaporkan menerusi Laporan Program Transformasi Kerajaan (GTP) 1.0.

''Kerjasama ini telah meminimumkan keperluan pertambahan perjawatan sebaliknya kekurangan perjawatan tersebut ditampung oleh penglibatan anggota ATM," ujarnya.

Terdahulu, ketika menjawab soalan tambahan Siti Zailah Mohd. Yusoff (Pas-Rantau Panjang) mengenai perbezaan elaun antara anggota PDRM dan ATM yang bertugas di sempadan, beliau berkata, perkara-perkara yang menyentuh mengenai kebajikan anggota ATM akan diberikan keutamaan oleh kerajaan.

Sementara itu, dalam sidang akhbarnya di lobi Parlimen, Hishammuddin memberitahu kerjasama melibatkan kementerian dan agensi bukan hanya menjimatkan wang ringgit tetapi mengurangkan ketirisan dan pembaziran, aliran tunai serta tenaga kerja.

Katanya, program yang belum pernah digunakan oleh negara lain itu akan diteruskan dan beberapa langkah penambahbaikan sedang dikenal pasti. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment