Keputusan tak iktiraf pengajian perubatan CSMU kekal
KUALA LUMPUR 23 SeptEMBER, 2013: Kerajaan tetap dengan keputusan untuk tidak mengiktiraf program pengajian perubatan yang ditawarkan The Crimea State Medical University (CSMU) di Ukraine kerana masih gagal memenuhi piawaian pihak berwajib negara ini.
Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Hilmi Yahya berkata, sehingga kini, universiti itu masih belum mengemukakan rayuan berhubung penarikan balik pengiktirafan ke atas program pengajiannya.
"Berdasarkan lawatan pada 12 hingga 20 Oktober 2012, kerajaan berpuas hati dengan keputusan panel penilai Majlis Perubatan Malaysia (MMC) bahawa program pengajian yang ditawarkan masih tidak memenuhi kriteria akreditasi yang ditetapkan," katanya menjawab ucapan penangguhan oleh M. Kulasegaran (DAP-Ipoh Barat) pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Dr. Hilmi berkata, kriteria akreditasi itu terkandung dalam garis panduan yang diperakukan MMC, Kementerian Kesihatan, Agensi Kelayakan Malaysia, Kementerian Pendidikan dan Jabatan Perkhidmatan Awam.
MMC menarik balik pengiktirafan terhadap CSMU pada 2005 dengan sokongan kerajaan, namun bagi memastikan langkah itu tidak menjejaskan pelajar Malaysia, keputusan berkenaan hanya membabitkan pelajar yang berdaftar selepas tarikh 31 Disember 2005.
Dr. Hilmi berkata, pihak CSMU boleh berurusan terus dengan MMC jika masih berminat untuk mendapatkan pengiktirafan.
Selain itu, beliau berkata, kerajaan juga memandang serius beberapa kes melibatkan universiti berkenaan termasuk dua tuduhan salah guna masih dalam peringkat siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
"Sehingga penyiasatan selesai, tiada maklumat lanjut dapat disampaikan," katanya. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment