Mayat lelaki melecur seluruh badan ditemui di tepi MRR2
KUALA LUMPUR, ISNIN, 23 September, 2013: Seorang lelaki, dipercayai penagih dadah ditemui mati dalam keadaan melecur hampir keseluruhan badannya di tepi jalan Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohan Singh Tara Singh berkata, mayat lelaki tanpa identiti dan berumur lingkungan 20-an itu ditemui orang awam dalam keadaan bogel pada pukul 1 petang sebelum memaklumkannya kepada polis.
"Polis yang tiba 10 minit kemudian, menemui mayat lelaki itu... turut berada bersamanya di situ adalah beberapa tin 'thinner' dan peralatan untuk menghisap dadah.
"Polis percaya lelaki itu mati kerana disambar api yang terhasil daripada tin 'thinner' yang meletup ketika lelaki itu asyik melakukan aktivitinya di kawasan itu," katanya kepada pemberita di tempat kejadian.
Mohan berkata, hasil siasatan polis menunjukkan, lokasi itu yang dikelilingi hutan kecil, sering menjadi lokasi penagih untuk menghisap dadah serta menghidu gam dan 'thinner', selain menjadi jalan pintas kepada orang awam.
"Lelaki itu dipercayai mati dalam tempoh 24 hingga 48 jam lepas. Mayatnya dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia untuk bedah siasat," katanya. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment