Khazanah Nasional buka pejabat di San Francisco
SAN FRANCISCO, ISNIN, 23 September, 2013: Datuk Seri Najib Tun Razak merasmikan pejabat wilayah Khazanah Nasional Berhad bagi negara-negara Amerika Utara dan Selatan, Khazanah Americas Incorporated (KAI), di San Francisco pada Ahad.
Beliau berharap pembukaan pejabat ini akan membantu menggerakkan lagi usaha Malaysia untuk merealisasikan statusnya sebagai negara maju menjelang 2020.
Perdana Menteri berkata, visi Malaysia untuk mencapai status negara maju menjelang 2020 boleh direalisasikan dengan menggerakkan rangkaian nilai dan mewujudkan ekonomi dipacu pengetahuan, inovasi dan teknologi.
Najib berkata demikian semasa merasmikan pejabat Khazanah itu di Aras 45, 101 California Street, San Francisco, pejabat wilayah ketiga cabang pelaburan kerajaan itu, selepas Beijing dan Mumbai.
Turut hadir isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek; Menteri Pelajaran II, Datuk Seri Idris Jusoh; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr. Ewon Ebin; Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; dan Pengarah Pejabat Datuk Bandar bagi Perniagaan dan Perdagangan Antarabangsa San Francisco, Mark Chandler.
Pemandangan indah Golden Gate Bridge, jambatan gantung tertinggi dan terpanjang di dunia yang siap pada 1937 bagi menghubungkan San Francisco dan Marin County merentas selat seluas 1,600 meter yang dikenali Golden Gate, yang menghubungkan Teluk San Francisco dengan Lautan Pasifik, dapat disaksikan dari Pejabat Khazanah Americas Incorporated itu.
Sambil memuji Khazanah yang 'membuat pilihan hebat dengan pemandangan indah itu', Najib berkata, Khazanah telah membuat pilihan tepat untuk membuka pejabat di San Francisco memandangkan kota raya itu merupakan pusat inovasi di Amerika Syarikat - wilayah yang paling dinamik di dunia, pusat perniagaan dan institusi inovatif yang dikagumi.
Najib, yang juga Pengerusi Khazanah Nasional Berhad berkata, pembukaan pejabat itu membuktikan kerajaan Malaysia menyokong penuh, selain serius dalam mewujudkan persekitaran yang kompetitif, berkekalan dan mesra inovasi serta menggalakkan entiti kerajaan dan swasta melabur dalam sektor utama di luar negara.
Perdana Menteri juga berkata, Malaysia berminat melabur dalam biang bernilai tinggi yang menarik seperti sains hayat, teknologi hijau dan inovasi canggih yang dapat membantu usaha mentransformasikan Malaysia.
Najib berkata, Malaysia berharap dapat mempelajari dari Amerika Syarikat mengenai budaya inovasi, pengambilan risiko dan keusahawanan bagi merangsang pertumbuhan ekonomi Malaysia sendiri.
Perdana Menteri berkata, beliau mahu melihat inovasi yang bakal diwujudkan menerusi inisiatif pejabat wilayah ini.
Beliau berkata, sejak beberapa tahun lepas, minat perniagaan dan ekonomi Malaysia berkembang di seluruh dunia dan berharap pejabat Khazanah ini dapat mengenal pasti rakan usaha sama berpotensi dan mendapatkan pakar inovasi di Amerika Utara dan Selatan supaya menjalin usaha sama dengan rakan mereka di Malaysia. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment