My Add

Sunday, 1 September 2013

Lukisan hina Islam ditarik serta-merta daripada pameran

 *MOHAMED Nazri Abdul Aziz menerima cenderamata berupa duit syiling keluaran khas sempena 50 Tahun Muzium Negara daripada Norzila Abdul Aziz di Muzium Negara, Kuala Lumpur, semalam. Turut sama, Iskandar Mizal Mahmood (tengah).

KUALA LUMPUR, SABTU, 31 Ogos, 2013: Sebuah lukisan kontroversi yang disifatkan menghina Islam apabila menampilkan lakaran I for Idiot berserta dengan tulisan khat bismillah terbalik telah ditarik serta-merta daripada pameran.

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, tindakan itu dibuat sebaik sahaja jawatankuasa Balai Seni Visual Negara (BSVN) dimaklumkan tentang laporan polis daripada pelawat yang menyaksikan pameran lukisan di salah sebuah galeri di ibu kota itu.

Walau bagaimanapun katanya, buat masa ini, tiada tindakan yang akan dikenakan kepada mana-mana pihak kerana masih menunggu hasil siasatan polis.

"Tindakan terhadap pihak terlibat akan dibuat sebaik sahaja kita menerima hasil siasatan daripada polis.

"Lukisan itu sudah diturunkan serta-merta dan ingin saya tegaskan item tersebut tidak melalui sebarang proses semakan dan tapisan yang dijalankan bersama pihak jawatankuasa yang diketuai BSVN bagi mendapat kebenaran pameran," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika menghadiri Majlis Sambutan 50 Tahun (Jubli Emas) Muzium Negara dan Pelancaran Duit Syiling serta Setem Peringatan, di sini hari ini.

Yang hadir sama, Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Ong Hong Peng; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia), Datuk Iskandar Mizal Mahmood dan Penolong Gabenor Bank Negara, Norzila Abdul Aziz.

Lukisan yang terlibat dalam pameran sempena kemerdekaan negara itu bagaimanapun tidak menampilkan sebarang unsur penghinaan pada lakaran J dan K yang masing-masing merujuk pada J for Jesus' dan 'K for Krishna.

Dalam perkembangan sama, Mohamed Nazri turut mempersoalkan tindakan pihak tidak bertanggungjawab itu yang disifatkan seolah-olah sengaja mahu mencetuskan kontroversi apabila tidak mengikuti prosedur wajib yang ditetapkan BSVN.

"Mana-mana lukisan yang mahu dipamerkan termasuk anjuran pihak swasta perlu dikemukakan terlebih dahulu kepada jawatankuasa BSVN untuk diteliti.

"Di mana keikhlasan pihak terbabit? Seolah-olah mereka sudah tahu perkara itu mampu sekali lagi mencetus kemarahan umat Islam tetapi masih mahu dipamerkan dan ini merupakan suatu penghinaan," katanya.

Baru-baru ini, negara telah digemparkan dengan tindakan tidak bertanggungjawab pasangan blogger Alvin Tan dan Vivian Lee, termasuk individu menyambut Aidilfitri bersama anjing, Maznah Mohd. Yusof, yang disifatkan penghinaan terhadap Islam. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment