My Add

Sunday, 1 September 2013

Terpaksa ambil air bukit

 *SEBAHAGIAN penduduk Kampung Melayu Ampang, Selangor yang terjejas bekalan air terpaksa beratur untuk mendapatkan air bukit semalam. - UTUSAN/JEFFRI IRAN
KUALA LUMPUR, SABTU, 31 Ogos, 2013: Penduduk Ampang dekat sini terpaksa mengambil air bukit bagi menjalankan aktiviti harian mereka berikutan gangguan bekalan air yang berlaku sejak awal pagi ini.

Air yang diambil dari sumber mata air bukit di Taman Tun Abdul Razak (TAR) itu didakwa menjadi satu-satunya sumber untuk mendapatkan air bersih sementara menunggu bantuan dari Syarikat Bekalan Air Selangor Bhd. (Syabas).

Tinjauan yang dibuat Mingguan Malaysia hari ini di sekitar Taman Ampang Jaya, Taman Rasmi, Taman Bukit Indah dan Kampung Melayu Ampang mendapati rata-rata penduduk berulang-alik ke kawasan Taman TAR untuk mendapatkan bekalan air tersebut.

Seorang suri rumah, Azmah Ahmad, 40 berkata, dia dan suami telah berulang-alik sebanyak tiga kali untuk mendapatkan bekalan air bukit.

"Saya terpaksa mendapatkan bekalan air yang banyak kerana mempunyai empat anak yang masih bersekolah dan seorang menuntut di kolej.

"Gangguan bekalan air ini benar-benar memberi bebanan kepada kami sekeluarga. Selain terpaksa makan dan minum di luar, saya juga tidak dapat mencuci pakaian kotor," katanya.

Dalam nada sama, Shaharudin Arshad, 30, berkata, oleh kerana gangguan bekalan air, perniagaan mencuci keretanya terjejas teruk.

"Perniagaan seperti ini memerlukan air yang banyak, disebabkan itu, kami buat keputusan untuk ambil air bukit ini untuk dibawa ke pusat cuci kereta.

"Tapi kalau masalah ini berterusan, perniagaan kami boleh gulung tikar. Mana tahan nak mengangkut air setiap hari," katanya.

Semalam, Syabas terpaksa menghentikan sementara operasi Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1, Fasa 2, Fasa 3 dan Rantau Panjang kerana berlaku kejadian minyak diesel memasuki sumber air di Hulu Sungai Selangor.

Kejadian tersebut mengakibatkan gangguan bekalan air di tujuh kawasan iaitu Kuala Lumpur, Petaling, Klang/Shah Alam, Gombak, Kuala Langat, Hulu Selangor dan Kuala Selangor.

Sementara itu, tinjauan di Keramat dan Setiawangsa pula mendapati gangguan bekalan air turut berlaku awal pagi ini.

Seorang penduduk dari Keramat, Darlina Hassan, 34, berkata, dia dan jiran-jirannya terpaksa mendapatkan bekalan air di pili-pili bomba berdekatan.

"Apabila masalah air berlaku, kami ambil air dari situ sahajalah sebab nak tunggu bantuan memang makan masa.

Seorang lagi penduduk, Zaitun Daud, 45, pula berkata, sepatutnya apabila berlaku masalah seperti ini, pihak Syabas perlu segera menghantar bekalan air. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment