Muassasah atasi segala kesukaran jemaah haji - Syed Omar
MAKKAH, SELASA, 24 September, 2013: Bekas Duta Malaysia di Arab Saudi, Datuk Syed Omar Al Saggof ialah antara individu yang dianggap layak bercerita mengenai pengurusan haji Malaysia dan kemajuannya yang membanggakan.
Pengalamannya dengan Tabung Haji (TH) dan jemaah haji di Tanah Suci bermula sejak usianya remaja pada tahun 1960-an.
Beliau berkata, ketika itu pelbagai kesukaran ditempuhi TH dan jemaah yang terpaksa berdikari dalam banyak hal termasuk urusan menunaikan ibadah haji.
"Saya datang ke Madinah pada tahun 1968 sebagai pelajar dan saya saksikan dengan mata saya sendiri bagaimana kepayahan jemaah dahulu hendak menunaikan ibadah haji tanpa sistem muassasah," katanya ketika ditemui di sini.
Katanya, jemaah haji pada zaman dahulu diuruskan oleh sheikh haji atau ejen-ejen haji dan beliau berpeluang membantu jemaah haji Malaysia kerana bekerja secara sambilan sebagai pembantu sheikh haji di Makkah.
Ketika itu beliau mendapat kerja sambilan semasa musim haji kerana kebolehannya bertutur dalam bahasa Arab, kata Syed Omar yang juga bekas pensyarah kanan Pengajian Bahasa Arab di Universiti Teknologi MARA (UiTM).
Setelah berlayar hampir sebulan, ketibaan jemaah haji disambut oleh sheikh-sheikh haji yang berebut-rebut mencari pelanggan masing-masing.
"Saya jadi jurubahasa untuk mereka dan jemaah haji Malaysia ketika itu tiba dalam keadaan serba kekurangan dan kebanyakan mereka berjalan dengan terhoyong-hayang kerana pening laut akibat terlalu lama berlayar," katanya.
Jemaah haji yang mendarat dan dalam keadaan 'mabuk laut' itu akan ditanya siapakah sheikh haji yang dilantik dan jika terkeliru dengan nama sheikh haji itu, mereka akan diambil oleh mana-mana sheikh sahaja.
"Ada nama sheikh itu hampir sama seperti Sheikh Ahmad...jadi apabila suami menyebut nama gelaran seperti Al Jabbir dan isteri pula terlupa nama sheikh haji itu, maka suami isteri akan terpisah diambil oleh sheikh yang berlainan," katanya.
Jika jemaah haji mahu mendapatkan semula isteri atau kaum keluarga yang terpisah itu, mereka terpaksa menebus dengan wang, sebagai ganti rugi.
"Jemaah haji dahulu tidak menikmati kemudahan seperti sekarang dan mereka hanya tinggal dalam rumah-rumah batu dan tanah di kawasan bukit di sekeliling kawasan Masjidil Haram," kata beliau.
Semua rumah tumpangan itu sudah tiada lagi kini kerana telah diroboh dan dibina bangunan hotel dan kompleks kecuali tapak hospital yang masih kekal di kawasan itu.
Syed Omar bercerita jemaah haji pada masa itu terpaksa membawa pelbagai kelengkapan masakan termasuk dapur, periuk belanga, buah kelapa dan bahan-bahan masakan kering kerana mereka harus memasak sendiri.
Keperluan dapur itu disimpan dalam peti khas yang disebut jemaah peti sahara dan sebelum pulang ke tanah air, jemaah haji akan menghadiahkan bali barangan dapur itu kepada rakyat tempatan atau pelajar Malaysia di Tanah Suci kerana mahu mengosongkan peti dan menggantikannya dengan buah tangan untuk dibawa pulang ke tanah air. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment