My Add

Tuesday, 24 September 2013

TPA: Kepentingan bumiputera, PKS tidak dikompromi
KUALA LUMPUR, SELASA. 24 September, 2013: Kerajaan tidak akan berkompromi ke atas isu-isu berkaitan kepentingan Bumiputera serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam rundingan berhubung Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA).

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, Malaysia sedang menjalankan dua analisis kos faedah berhubung kesan perjanjian itu kepada Bumiputera dan PKS, serta kepentingan nasional.

"Kerajaan akan pastikan isu sensitif negara dikecualikan dalam perjanjian TPP, termasuk kepentingan Bumiputera dan PKS. Ini jaminan kerajaan," katanya dalam sesi soal jawab pada persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Dr. Marcus Mojigoh (BN-Putatan) yang bertanyakan sama ada kerajaan terdesak untuk menandatangani TPPA selain langkah-langkah bagi melindungi kepentingan negara serta peserta industri.

Mustapa berkata, pendirian kerajaan adalah berunding atas terma-terma Malaysia bagi memastikan kepentingan negara dan rakyat tidak terjejas.

Ia termasuk memastikan Perlembagaan Malaysia terpelihara, kuasa-kuasa negeri terpelihara dan dasar-dasar penting dipertahan.

Beliau juga mengulangi pendirian kerajaan bahawa TPPA tidak akan ditandatangani jika didapati perjanjian itu tidak memberi manfaat kepada Malaysia sebagai sebuah negara berdaulat.

"Kerajaan tidak didesak oleh mana-mana pihak (untuk menandatangani TPPA) seperti yang didakwa. Kita juga berunding secara sukarela, tiada tekanan daripada mana-mana pihak.

"Sehingga kini, perjanjian ini masih belum dimuktamadkan dan masih di peringkat rundingan," tegasnya.

Mustapa juga mengulangi kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa kedatangan Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama ke Malaysia pada Oktober ini tidak mempunyai kaitan dengan perjanjian TPP, termasuk untuk menekan negara supaya menandatangani perjanjian itu.

Mustapa turut meminta pihak-pihak berkaitan untuk tidak meneruskan hasrat mengadakan demonstrasi membantah TPPA semasa kehadiran pemimpin US itu kelak.

Beliau memaklumkan bahawa tidak banyak kemajuan yang tercapai dalam beberapa siri pertemuan oleh ketua-ketua perunding TPP minggu lepas bagi mencari penyelesaian isu-isu tertunggak sejak pusingan ke-19 rundingan dilangsungkan di Brunei dari 21 hingga 30 Ogos lepas.

"Ia termasuk perolehan kerajaan, harta intelek, syarikat milik kerajaan, penyelesaian pertikaian pelabur, akses persaraan dan alam sekitar," jelasnya.

Mustapa berkata, untuk itu, menteri-menteri TPP akan bermesyuarat sekali lagi bulan depan, diikuti pertemuan oleh para pemimpin TPP di Bali pada 8 Oktober. - BERNAMA 

No comments:

Post a Comment