My Add

Monday, 23 September 2013

NGO Selangor sokong tindakan PM

KUALA LUMPUR, AHAD, 22 September, 2013: Sebanyak 12 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) gabungan negeri Selangor menyokong tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang bertegas tidak membenarkan mayat atau abu bekas Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng dibawa masuk ke negara ini.

Presiden Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM), Abdul Rani Kulup Abdullah berkata, ketegasan Perdana Menteri terhadap keputusan itu adalah wajar memandangkan Chin Peng telah mengakibatkan ramai yang kehilangan nyawa.

"Keganasan dan tindak-tanduk komunis telah mengakibatkan ramai pasukan keselamatan terkorban dan rakyat menderita kerana kekejaman yang dilakukan ketika itu.

"Maka dengan itu kami menentang sekeras-kerasnya abu mayat pengganas ini dibawa pulang ke tanah air tercinta," katanya selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya di sini hari ini.

Chin Peng atau nama sebenarnya Ong Boon Hua yang hidup di Thailand dilaporkan meninggal dunia di Hospital Bangkok pada awal pagi 16 September lalu akibat sakit tua.

Sepanjang mengepalai komunis semasa zaman darurat pada 1948 hingga 1960 dan 1968 hingga 1989, pelbagai kekejaman telah dilakukan Chin Peng terhadap anggota keselamatan negara serta orang awam.

Akhbar melaporkan ada pihak tertentu merancang untuk menyeludup masuk ke Malaysia abu mayat Chin Peng yang akan dibakar di Bangkok, esok.

Sementara itu, Pengerusi Tetap dan Ketua Penerangan Pertubuhan Kebajikan Dan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida), Rashid Fadzil berkata, sekiranya abu mayat pengganas komunis itu dibawa pulang ke Malaysia, beliau khuatir akan timbul kembali fahaman dan ideologi komunis di negara ini.

"Jangan kata mayat, walaupun secebis abu pun jangan sesekali dibenarkan dibawa masuk ke negara ini. Ini kerana abu atau mayat yang dibawa balik itu akan ditanam dan dibinakan tugu untuk mereka menyembah dan mendaulatkan perjuangan komunis," tegas beliau

Tambah Rashid, pihak-pihak yang ingin membawa pulang mayat atau abu pemimpin komunis itu sepatutnya melihat kembali sejarah dan bukan hanya membuat kenyataan berdasarkan kepentingan peribadi atau politik murahan.

Yang turut membuat laporan serupa termasuklah Persatuan Kebajikan Melayu Klang (PKMK), Putra Malaysia, Angkatan Perpaduan Islam Sejagat Malaysia (Api), dan Pertubuhan Kebajikan Perpaduan Ummah Malaysia.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung Pertubuhan Kebajikan Keris Mas Malaysia, Datuk Mohd. Abdullah Mohd. Mohaidin berkata, pihaknya bersama-sama bekas tentera dan balu-balu mereka yang terkorban pada era kekejaman komunis menentang sekeras-kerasnya tindakan sesetengah pihak yang ingin membawa pulang abu mayat pemimpin komunis tersebut.

"Kita risau akan ada rakyat Malaysia yang mendewakan komunis dan tindakan ini bakal memberi tafsiran salah kepada generasi kemudian," tegasnya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment