Pemilihan UMNO: 'Anak saya' hendak lawan saya - Ismail Sabri
KUALA LUMPUR, SELASA, 24 September, 2013:Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak memandang ringan cabaran bekas Setiausaha Politiknya, Datuk Azizan Che Omar bagi jawatan Ketua UMNO Bahagian Bera dan menyifatkannya sebagai pertandingan antara 'anak melawan bapa'.
Menurutnya, beliau yakin akar umbi UMNO Bahagian Bera akan membuat keputusan bijak untuk memilih pemimpin yang dapat terus memberi sumbangan kepada kawasan dan menggalas cabaran getir untuk membawa UMNO menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).
"Saya didik dia, saya bimbing dia, jadi ini adalah anak saya hendak melawan saya, saya tahu sejauh mana kekuatan dia, bagi saya tak mengapalah, setiap pertandingan tidak boleh dipandang ringan tetapi orang Bera tahu siapa saya...siapa dia, terserahlah kepada orang Bera," katanya dalam sidang akhbar selepas sidang akhbar Ekspo dan Forum Ternakan Asia 2013 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini hari ini.
Azizan yang tidak disambung jawatannya sebagai Setiausaha Politik Ismail telah mencabar Ismail bagi jawatan Ketua UMNO Bahagian Bera dalam pemilihan parti akan datang.
Menurut Ismail, pemilihan di peringkat bahagian perlu menentukan ketua yang dapat memberi kekuatan kepada parti dan seterusnya melaksanakan tanggungjawab bagi memajukan lagi kawasan.
"Setengah orang bertanding sebab sakit hati, dalam ucapannya tiada kerja lain melainkan bantai orang, kalau itu tujuannya lepas menang tiada apa lagi yang orang itu nak buat sebab tujuannya nak kalahkan lawannya sebab sakit hati, itu sahaja, bukan tujuannya hendak bawa sesuatu," katanya. - UTUSAN ONLINE
No comments:
Post a Comment