My Add

Wednesday, 25 September 2013

Pemilihan UMNO: Jamilah serah kepada perwakilan

KUALA LUMPUR, SELASA, 24 September, 2013: Calon jawatan Ketua Puteri UMNO, Jamilah Hanim Othman berkata, saingan merebut jawatan tertinggi itu membuktikan satu transformasi politik yang sihat terutamanya dalam mengangkat peranan integriti dalam memilih pemimpin parti.

Beliau yang merupakan Pengerusi Biro Sukarelawan Puteri UMNO berkata, peluang yang diberikan kepada perwakilan untuk mengenal dan memilih calon yang layak pada pemilihan parti kali ini membuktikan UMNO adalah sebuah parti yang berlandaskan demokrasi.

"Saya reda sama ada akan menang atau tidak semasa menawar diri untuk bertanding.

"Saya menyerahkan sebulat-bulatnya keputusan kepada perwakilan untuk memilih," katanya ketika ditemui selepas Majlis Menandatangani

Perjanjian Persefahaman Institut Integriti Malaysia dan Pergerakan Puteri UMNO Malaysia di sini hari ini.

Beliau akan dicabar Ahli Parlimen Masjid Tanah, Mas Ermieyati Samsudin.

Tambahnya, beliau akan melakukan yang terbaik semasa tempoh berkempen termasuk memperjuangkan empat inspirasi dalam usaha memastikan Puteri sebagai sayap terpenting dan mengangkat martabat UMNO menjadi parti keramat.

"Saya akan memberi fokus kepada politik, ekonomi, sosial dan teknologi yang mana perlu menerapkan integriti sebagai asas utama perjuangan. Ini termasuk dalam penyebaran maklumat yang mana Puteri UMNO akan berperanan sebagai lidah menyalurkan maklumat yang benar," katanya. - UTUSAN ONLINE 

No comments:

Post a Comment