My Add

Tuesday, 24 September 2013

Saranan PM tidak berat sebelah

Oleh WAN NAJIB WAN DAUD
 
 Paul Low Seng Kuan
KUALA LUMPUR, ISNIN, 23 September, 2013: Gesaan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak agar semua agensi kerajaan, syarikat milik kerajaan (GLC) dan syarikat swasta terutama milik bumiputera mengiklan lebih banyak dengan akhbar-akhbar di bawah Kumpulan Utusan dilihat tidak berat sebelah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Paul Low Seng Kuan berkata, apa yang dinyatakan oleh Perdana Menteri ketika merasmikan ibu pejabat baharu Kumpulan Utusan adalah hasrat peribadi beliau dan bukan menyebelahi mana-mana penerbitan.

"Secara peribadi saya melihat gesaan iklan dalam Utusan Malaysia itu tidak berat sebelah dan menyebelahi Utusan Malaysia semata-mata, kerana iklan adalah bergantung pada kuasa pasaran," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan ucaptama sempena Persidangan Juru Audit Dalaman Kebangsaan 2013 di sini hari ini.

Seng Kuan mengulas gesaan yang dibuat oleh Perdana Menteri kepada syarikat-syarikat GLC tersebut ketika merasmikan ibu pejabat baru Kumpulan Utusan pada 13 September lalu, sebagai penghargaan mereka kepada perjuangan Kumpulan Utusan selama ini.

Menurut Najib, dalam dunia kewartawanan, kejayaan sesebuah akhbar juga bergantung kepada sokongan yang bersifat komersial.

Seng Kuan berkata, sama ada mengiklan dalam Utusan atau tidak, GLC harus bertanggungjawab kepada urus tadbir korporat yang baik.

"Jika tindakan itu baik dan memberi pulangan kepada GLC, mereka berhak untuk menentukan penerbitan mana yang disukai.

"Itu yang saya sebut dari awal, apa yang dikatakan oleh Perdana Menteri adalah harapan tetapi yang menentukan segala keputusan adalah bergantung kepada syarikat itu sendiri," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment