My Add

Tuesday, 24 September 2013

Juwita digerak bantu ibu tunggal

Oleh FAIZAH IZZANI

KUALA LUMPUR, ISNIN, 23 September, 2013: Wanita Barisan Nasional (BN) melalui Sekretariat Jaringan Untuk Ibu Tunggal Malaysia (Juwita) akan menggerakkan jentera bagi membantu lebih 800,000 ibu tunggal di seluruh negara untuk memastikan beberapa isu dan aspek penting golongan itu ditangani segera.

Ketua Wanita BN, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain dilantik sebagai Penyelaras Sekretariat Juwita di peringkat kebangsaan untuk melaksanakan semua tugas berkaitan.

Katanya, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah meluluskan penubuhan sekretariat itu di Ibu Pejabat Wanita UMNO dan di 191 pejabat Wanita UMNO bahagian di setiap kawasan Parlimen.

"Kami gembira kerana mendapat sokongan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menggerakkan Juwita yang sebelum ini telah dilancarkan beliau sendiri untuk membantu golongan ibu tunggal terutama di peringkat akar umbi.

"Ini kerana apa yang kita bimbang sekarang adalah nasib ibu tunggal untuk menyara diri dan keluarga selepas ketiadaan suami. Ini akan menjadi sasaran utama Juwita dan akan diperjuangkan dari semasa ke semasa," katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Sekretariat Juwita di sini hari ini.

Shahrizat berkata, antara perkara yang akan diberi keutamaan Juwita dan akan digerakkan dengan segera adalah pemberian kad diskaun pengguna kepada semua ibu tunggal seperti diumumkan Perdana Menteri semasa pelancaran sekretariat itu April lalu.

"Dengan pemberian kad diskaun tersebut, ia sedikit sebanyak membolehkan ibu tunggal tersebut yang menjadi ketua keluarga menyara hidup keluarga mereka lebih mudah.

"Selain kad diskaun itu, kami juga akan memperjuangkan skim insurans berkelompok bagi ibu tunggal yang berkelayakan. Kita juga akan mengetengahkan aspek pembangunan usahawan dalam kalangan ibu tunggal," katanya.

Shahrizat berkata, sekretariat Juwita akan turut memperjuangkan isu-isu perundangan termasuk masalah yang dihadapi ibu-ibu tunggal di mahkamah syariah dan juga mahkamah sivil selain mendapatkan keperluan khidmat bantuan guaman bagi ibu tunggal yang tidak berkemampuan. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment