My Add

Monday, 23 September 2013

Strategi Lautan Biru kurangkan perbelanjaan - Hisham

KUALA LUMPUR, ISNIN, 23 SeptEMBER, 2013: Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS)yang dilaksanakan merentasi Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Pertahanan berjaya menyumbang kepada penjimatan perbelanjaan kerajaan.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, antara penjimatan yang diperoleh ialah melalui dasar mengoptimumkan pusat latihan Angkatan Tentera Malaysia sebagai pusat latihan bagi anggota polis yang baharu dilantik.

"Kerajaan dapat minimumkan keperluan membina pusat latihan baharu untuk aktiviti latihan polis yang dianggar berjumlah RM711 juta bagi sebuah pusat latihan.

"Pusat Pemulihan Kemasyarakatan pula telah memberi kesan penjimatan apabila kerajaan tidak lagi perlu membina penjara baharu. Kos bagi pembinaan sebuah penjara baharu menelan belanja antara RM50 juta hingga RM60 juta," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Beliau menjawab soalan Rubiah Wang (BN-Kota Samarahan) yang ingin tahu kejayaan pelaksanaan strategi lautan biru dan jumlah penjimatan yang diperoleh kerajaan.

Sementara itu, pada sidang akhbar di lobi Parlimen, Hishammuddin berkata, matlamat akhir strategi itu juga dapat dikongsi bersama dengan pihak polis, ATM dan Jabatan Penjara seperti memberi kemahiran dan program pemulihan kepada banduan, mengurangkan kemasukan banduan berulang, serta latihan kepada anggota dan pegawai polis serta tentera.

"Fakta menunjukkan kita berada di landasan yang betul dan saya bangga dengan strategi ini kerana ia melibatkan perancangan dan kerjasama yang rapi serta pemikiran yang sehaluan," katanya.

Beliau menjelaskan, program yang belum pernah digunakan oleh negara lain itu akan diteruskan dan beberapa langkah penambahbaikan sedang dikenalpasti.

Antaranya memantapkan kemahiran golongan banduan selain pembabitan mereka dalam program yang menjurus kepada bidang pertanian, perikanan dan keusahawan supaya mereka dapat menyumbang kepada masyarakat, katanya.

Hishamuddin berkata, daripada sejumlah 2,664 banduan yang dibebaskan, hanya 0.45 peratus kemasukan berulang berlaku pada tahun ini. - BERNAMA 

No comments:

Post a Comment