My Add

Wednesday 30 October 2013

110,170 hektar tanah terbiar dimajukan projek agro makanan

KUALA LUMPUR, SELASA, 29 Oktober, 2013: Kerajaan bakal membangunkan sejumlah 110,170 hektar tanah terbiar di seluruh negara dengan projek agro makanan dalam usaha meningkatkan hasil tanaman negara.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Tajuddin Abdul Rahman berkata, buat masa ini kementerian sedang mengenal pasti pemilik tanah, jenis tanah dan keperluan infrastruktur yang boleh dibangunkan di atas tanah terbiar itu oleh pengusaha dan syarikat swasta.

Menurut beliau, usaha itu akan mengambil sedikit masa disebabkan masalah tuntutan hak milik tanah daripada waris bersama tanah terbabit.

"Proses ini dilakukan dengan kerjasama kerajaan negeri melalui Pejabat Tanah dan Daerah," katanya dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

Tajuddin menjawab soalan Datuk Mansor Othman (PKR-Nibong Tebal) mengenai usaha kementerian itu memajukan tanah terbiar di seluruh negara yang berpotensi dimajukan menjadi projek perumahan.

Menurut Tajuddin, kerajaan telah membangunkan 9,213 hektar tanah di seluruh negara sejak 2007 melibatkan sebanyak 7,517 petani.

Kata beliau, projek itu berjaya mengeluarkan hasil berjumlah 178,141 tan metrik bernilai RM78.68 juta.

Dalam pada itu, tambahnya, kementerian telah mengambil langkah-langkah proaktif bagi menarik minat orang muda terlibat dalam sektor tersebut seperti melancarkan program 'Entrepreneur Muda'.

Selain itu, katanya, kementerian juga bakal menubuhkan sebuah komuniti yang akan mengambil sebanyak 100 usahawan tani setiap tahun yang akan dibangunkan agensi di bawah kementerian supaya perkembangan usahawan muda dapat dipantau sehingga berjaya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment