My Add

Wednesday 30 October 2013

TNB akan lantik badan bebas antarabangsa

KUALA LUMPUR, SELASA, 29 Oktober, 2013: Tenaga Nasional Berhad (TNB) akan melantik sebuah badan bebas antarabangsa untuk menilai semula pelbagai aspek mengenai empangan hidro miliknya.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Ir. Azman Mohd. berkata, badan antarabangsa bertauliah itu akan mengkaji semula aspek-aspek seperti keselamatan, operasi dan kesan aktiviti-aktiviti pembangunan di kawasan persekitaran empangan.

Menurut beliau, badan bebas itu juga akan melihat kepada impak operasi empangan serta kesan jangka masa panjang terhadap integriti empangan.

Tambahnya, antara empangan hidroelektrik utama milik TNB ketika ini adalah Empangan Sultan Abu Bakar di Cameron Highlands yang kini berusia 50 tahun, Empangan Sungai Perak (35 tahun), Empangan Pergau (16 tahun) dan Empangan Kenyir (28 tahun).

"Aktiviti-aktiviti pembangunan di hulu sungai yang berjalan selepas empangan-empangan ini mula beroperasi mungkin memberi impak kepada operasi harian empangan-empangan ketika ini," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, beliau memberitahu, sebagai syarikat prihatin, TNB akan memberi bantuan kemanusiaan berjumlah RM200,000 kepada mangsa banjir di Lembah Bertam minggu lalu.

Menurut beliau, bantuan itu akan disalurkan menerusi Kumpulan Wang Amanah Jawatankuasa Malapetaka Negeri Pahang yang dikelola Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang.

Dalam kejadian banjir kilat di Cameron Highlands minggu lalu, tiga orang terbunuh, dua daripadanya lemas dan seorang akibat serangan jantung selepas air Sungai Bertam melimpah susulan pelepasan air empangan di Ringlet. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment