My Add

Wednesday 30 October 2013

Sanggup manipulasi gambar Azizan

* KHAIRY Jamaluddin Abu Bakar, berbual dengan anggota Pergerakan Wanita dan Puteri UMNO ketika hadir di PDM Permatang Buluh, Yan Kedah, semalam.
JERAI, SELASA, 29 Oktober, 2013: Pas dianggap terdesak apabila sanggup memanipulasi gambar pemimpin mereka sendiri dalam kempen pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau.

Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, rakyat seharusnya boleh membuat penilaian tentang sikap parti tersebut yang tidak seharusnya dilakukan terhadap seorang pemimpin seperti Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak.

"Saya sendiri rasa kesal bagi pihak penyokong Azizan bahawa ada yang sanggup buat seperti itu kepada seorang tokoh yang hebat. Imej dan ketokohan Azizan boleh dimanipulasi oleh parti Allahyarham sendiri kerana gambar dalam risalah itu diedarkan seolah-olah calon Pas itu rapat dengan Azizan yang disegani di kawasan ini.

"Motif sebab nak dapat sokongan daripada orang yang sayang dan hormat kepada Azizan. Saya harap rakyat boleh menilai tindakan terdesak Pas," katanya kepada pemberita selepas melawat Pusat Daerah Mengundi (PDM) Pematang Buluh Sungai Limau di sini hari ini.

Beliau mengulas tentang penyebaran risalah kempen Pas yang memaparkan gambar calonnya untuk PRK itu, Mohd. Azam Abd. Samat kononnya bertemu Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak, di pejabatnya ketika Azizan menjadi Menteri Besar Kedah.

Akhbar Sinar Harian semalam mendedahkan, gambar itu sebenarnya gambar kunjungan mesra dua pemberita kanannya ke atas Allahyarham Azizan pada 25 Mei 2011 dan mendakwa gambar itu telah diubah suai menerusi teknik 'photoshop' bagi menampal wajah Mohd. Azam pada wajah seorang daripada pemberita kanannya itu.

Menyentuh tentang sokongan pengundi muda, kata Khairy, pihaknya yakin sokongan golongan tersebut terhadap calon Barisan Nasional (BN) semakin meningkat dari sehari ke sehari atas faktor pembangunan dan pembaharuan di kawasan tersebut.

"Adalah menjadi harapan generasi muda di Sungai Limau yang ingin lihat kemajuan dan peluang ekonomi. Mereka menaruh harapan tinggi bahawa kemajuan dan pembaharuan ini hanya dapat dikecapi sekiranya wakil rakyat di sini adalah wakil rakyat daripada parti yang mentadbir negeri dan kerajaan Pusat.

"Pengundi di semua berpengetahuan dan dapat maklumat bahawa peluang hanya akan dapat kalau wakil rakyat datang daripada parti sama. Selain itu Menteri Besar, Datuk Mukhriz Tun Mahathir juga telah berjanji akan memberi tumpuan kepada Sungai Limau," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment