My Add

Thursday 31 October 2013

148 JPP diwujud di seluruh negara tahun depan

PUTRAJAYA, RABU, 30 Oktober, 2013: Kerajaan akan mewujudkan 148 Jawatankuasa Perwakilan Penduduk (JPP) di seluruh negara mulai tahun depan bagi meningkatkan lagi tahap kesejahteraan dan merapatkan hubungan dengan penduduk yang tinggal di bandar.

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata, inisiatif baharu itu juga hasil maklum balas semasa Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) lalu yang menunjukkan rata-rata penduduk bandar tidak memahami dengan jelas tentang program dan dasar kerajaan.

''JPP itu akan diwujudkan di setiap kawasan bandar di bawah pentadbiran pihak berkuasa tempatan (PBT) seluruh negara kecuali Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

''Inisiatif ini memudahkan penduduk bandar mengutarakan permasalahan dan cadangan kepada kementerian atau agensi di bawahnya," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas berucap dalam Perhimpunan Bulanan dan melancarkan Bulan Bahasa Kebangsaan peringkat kementerian di sini hari ini.

Yang turut hadir Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Seri Arpah Abdul Razak.

Abdul Rahman berkata, JPP itu berbeza dengan Persatuan Penduduk atau Rukun Tetangga (RT) kerana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu hanya mewakili satu taman perumahan sahaja.

''Walaupun NGO terbabit berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan (ROS) tetapi ahli jawatankuasanya tidak boleh berjumpa terus dengan ketua jabatan atau pegawai kementerian," katanya.

Menyentuh Bajet 2014, beliau berkata, kementerian menerima peruntukan sebanyak RM3.9 bilion iaitu meningkat sebanyak 24.73 peratus berbanding RM3.14 bilion tahun ini. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment