My Add

Wednesday 30 October 2013

NUTP gesa segera selesai masalah PBS

KUALA LUMPUR, SELASA, 29 Oktober, 2013: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) menggesa Kementerian Pendidikan supaya segera menambah baik sistem akses Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) yang disediakan bagi membantu memudahkan tugas guru sekolah.

Presidennya, Hashim Adnan berkata, ini memandangkan masalah akses itu terus berlaku sehingga menjejaskan perjalanan kerja serta masa kira-kira 350,000 guru yang terlibat.

Jelas beliau, lebih teruk lagi apabila guru-guru diberi tempoh masa singkat untuk menyelesaikan kerja dan prestasi mereka yang turut dinilai melalui tugas tersebut.

“Sistem akses data berkenaan sering terganggu dan berhenti secara tiba-tiba apabila guru-guru memasukkan markah para pelajar. Lebih teruk apabila sistem itu turut memadam data yang telah dimasukkan.

“Kami telah memaklumkan kepada kementerian, khususnya Lembaga Peperiksaan Malaysia, namun jawapan yang sering diterima ialah server sedang ditambah baik," katanya dalam sidang akhbar di ibu pejabat NUTP dekat sini hari ini.

Hashim menambah, beban guru turut bertambah dengan pelaksanaan Penilaian Bersepadu Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PBPPP) yang masih dalam peringkat awal dan baru bermula tahun ini.

Jelasnya, pada mulanya hanya segelintir sekolah terlibat dalam program perintis tersebut, namun sebaliknya semua sekolah terpaksa terlibat sama.

“Kami meminta kementerian supaya memansuhkan proses penilaian ini dan kaji semula tentang keberkesanannya kepada para guru kerana sistem yang digunakan terlalu sulit dan sukar difahami.

“Ini bagi memastikan beban tugasan tidak mengganggu masa guru yang sudah sedia sibuk dengan pengajaran mereka," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment