My Add

Wednesday 30 October 2013

Guan Aik tolak usaha damai Guan Eng

JERAI, SELASA, 29 Oktober, 2013: Bekas Pengerusi DAP Kedah, Lee Guan Aik (gambar) membidas tindakan Setiausaha Agung parti itu, Lim Guan Eng menubuhkan jawatankuasa pendamai yang diketuai oleh Ketua Publisitinya, Tony Pua bagi menyelesaikan kemelut dalaman parti.

Guan Aik mendakwa, tindakan Guan Eng itu tidak berhemah dan seolah-olah mahu menutup air mukanya sendiri terutama dengan melantik Tony Pua yang dianggapnya cuma 'orang suruhan' Guan Eng.

Katanya, Guan Eng pada Ahad lalu telah mengumumkan penubuhan jawatankuasa pendamai bagi menyelesaikan masalah dalaman parti tersebut di seluruh negara termasuk yang berlaku di Kedah.

"Tindakan Guan Eng itu tidak berhemah kerana beliau yang mengeluarkan arahan terdahulu berhubung pelantikan Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari sebagai pengerusi sementara DAP Kedah.

"Sepatutnya Guan Eng yang datang menyelesaikan kemelut itu dan berdepan dengan kami semua, Tony cuma orang suruhan politik beliau yang akan mengikut sahaja," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini yang turut dihadiri oleh beberapa ketua cawangan DAP Kedah.

Konflik DAP Kedah dan pemimpin pusatnya bermula apabila Zairil dilantik sebagai pengerusi sementara DAP Kedah oleh parti itu yang kemudian dianggap Guan Aik sebagai tidak sah kerana didakwa tidak mematuhi prosedur perlembagaan parti.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pihaknya tidak berganjak daripada keputusan untuk menyerahkan perkara tersebut kepada ROS bagi menyiasat lantikan jawatankuasa interim DAP Kedah memandangkan laporan telah dibuat.

"Saya sudah hantar dua surat kepada ROS dan tidak payahlah Guan Eng hantar jawatan kuasa itu kepada kami,'' tegasnya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment