My Add

Wednesday 30 October 2013

Malaysia ke-6 termudah

Oleh Aznan Bakar

 *NAJIB Tun Razak bersama sebahagian daripada 17 pemimpin dan ketua kerajaan yang menyertai Forum Ekonomi Islam Dunia (WIEF) Ke-9 selepas majlis perasmian forum tersebut di London, semalam. Turut serta Perdana Menteri Britain, David Cameron (lima dari kiri). - BERNAMA
LONDON, SELASA, 29 Oktober, 2013: Malaysia menjadi antara negara yang paling mudah untuk menjalankan perniagaan di dunia apabila kedudukannya dalam laporan Mudah Menjalankan Perniagaan Bank Dunia 2014 telah melonjak ke tangga keenam berbanding tempat ke-12 pada tahun lalu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang gembira dengan peningkatan itu berkata, ini menjadikan Malaysia sebagai satu-satunya negara Islam yang berada dalam kedudukan 10 negara terbaik dalam ranking laporan itu.

Malah katanya, ketika beliau mula mengambil alih jawatan sebagai Perdana Menteri tiga tahun lalu, Malaysia hanya berada pada kedudukan ke-23 dalam senarai laporan tersebut.

“Saya gembira melihat laporan Mudah Menjalankan Perniagaan Bank Dunia 2014 yang dikeluarkan semalam, menyaksikan Malaysia melonjak ke tangga keenam yang mana ini merupakan peningkatan ketara berbanding kedudukan ke-12 pada tahun lalu," katanya dalam sidang akhbar sempena Forum Ekonomi Islam Dunia (WIEF) Ke-9 di sini hari ini.

Perdana Menteri berkata, semua itu adalah hasil tumpuan dan usaha yang dilakukan oleh kerajaan dalam memupuk budaya keusahawanan.

Sementara itu, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed dalam kenyataannya berkata, peningkatan kedudukan Malaysia itu dalam kalangan 189 negara merupakan bukti kepimpinan Najib dan kejayaan program transformasi ekonomi dan kerajaan beliau.

Kata Mustapa, Malaysia mencapai kedudukan itu lebih awal kerana sasaran ialah untuk berada dalam kalangan 10 teratas pada 2015.

“Pada tangga keenam Malaysia berada setaraf dengan Singapura, Hong Kong, New Zealand, Amerika Syarikat dan Denmark.

“Ranking ini juga menempatkan Malaysia mendahului ekonomi-ekonomi seperti Korea Selatan, Norway, United Kingdom, Australia dan Finland," katanya.

Mustapa berkata, Malaysia juga meraih tempat pertama dari segi mendapatkan kredit dan keempat (melindungi pelabur enam tahun berturut-turut).

Dalam bahagian dagangan rentas sempadan, katanya, Malaysia berada di tempat kelima dan peningkatan ketara dicatatkan dalam bahagian memulakan perniagaan, berurusan dengan permit pembinaan, menguatkuasakan kontrak, menyelesaikan ketakmampuan bayar dan mendapatkan bekalan kuasa elektrik.

Menurut beliau, Malaysia telah menjadikan langkah memulakan perniagaan lebih murah dengan mengurangkan yuran pendaftaran syarikat, manakala ketika berurusan dengan permit pembinaan, penubuhan pusat sehenti telah memudahkan proses pembinaan.

“Ini merupakan bukti kepada usaha yang dijalankan oleh sektor awam dan swasta untuk membantu Malaysia menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi.

“Pasukan Petugas Khas untuk Memudahkan Perniagaan (Pemudah) telah terbukti menjadi platform iaitu sektor awam dan swasta bekerjasama untuk mewujudkan tindakan segera dalam menambah baik penyediaan perkhidmatan kerajaan, meningkatkan daya saing Malaysia serta memastikan perniagaan dapat dipermudahkan dengan cekap," katanya.

Sejak dimulakan pada 2007, prestasi Malaysia dalam laporan Mudah Menjalankan Perniagaan Bank Dunia telah meningkat daripada tempat ke-25 ke tangga keenam.

Tahun ini merupakan lonjakan terbesar negara dalam rangking daya saing, memperkukuh kedudukannya sebagai destinasi pilihan bagi perdagangan dan pelaburan dalam kalangan pelabur tempatan dan asing. - Utusan  - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment