My Add

Wednesday 30 October 2013

13 ahli jawatankuasa dilantik siasat kelemahan dan ketirisan

KUALA LUMPUR, SELASA, 29 Oktober, 2013: Sebanyak 13 ahli jawatankuasa dilantik oleh kerajaan bagi menyiasat kelemahan dan ketirisan yang dibentangkan oleh Laporan Ketua Audit Negara 2012 di Parlimen baru-baru ini.

Jawatankuasa itu diketuai Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail selain dianggotai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Mohd. Shukri Abdull berkata, jawatankuasa itu bertujuan mengambil tindakan dalaman terhadap mana-mana pihak yang melakukan kesalahan salah laku.

"Semua kertas siasatan yang dibuka ini masih lagi dalam proses siasatan berikutan melibatkan pelbagai dokumen dari bank dan kebanyakan laporan yang diterima berkenaan kes pemalsuan, salah guna kuasa dan rasuah.

"Kita juga telah memanggil beberapa individu bagi membantu siasatan dan menjangka dapat menyelesaikan sebahagian kes ini dalam masa terdekat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutup Program Latihan Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) Siri 5 Bil 2/2013 di Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA), dekat sini hari ini.

Sebelum ini, SPRM memandang serius kelemahan dan ketirisan yang dibentangkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2012 di Parlimen dan sehingga kini sebanyak 15 kertas siasatan telah dibuka di bawah Akta SPRM 2009.

Dalam pada itu, Mohd. Shukri menjelaskan, melalui Program CeIO yang diwujudkan pada 2010, sebanyak 30 peratus daripada 150 pegawai yang menamatkan program terlibat diletakkan di struktur organisasi yang tidak betul menyebabkan matlamat untuk menjalankan tugasan integriti tidak tercapai.

"Ini merupakan kerugian besar kerana melalui program latihan ini kita telah mendedahkan kepada pegawai berkenaan undang-undang dan peraturan yang boleh dipraktikkan apabila ditempatkan di sesebuah kementerian, jabatan serta agensi.

"Pegawai yang terlibat ini boleh membantu dan memberi nasihat berkenaan peraturan yang perlu diikuti oleh organisasi terbabit. Apabila mereka menjalankan tanggungjawab yang diberikan, ia akan dapat mengurangkan salah laku pegawai seperti yang dilaporkan dalam audit," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment