My Add

Wednesday 30 October 2013

Petunjuk baharu jejaki penjenayah

Oleh ZAMZURINA AHMAD

KUANTAN, SELASA, 29 Oktober, 2013: Polis yakin gerakan memburu suspek kes tembak seorang pegawai operasi AmBank, Rabu lalu, semakin cerah berikutan penemuan beberapa petunjuk baharu termasuk laman sosial Facebook menggunakan nama Ardi Ode Putra Katela yang disahkan milik lelaki itu.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Bakri Mohd. Zinin berkata, pihaknya juga yakin suspek masih berada di dalam negara bersama selaras raifal pump-gun yang digunakan dalam kejadian itu.

"Kita telah tubuhkan pasukan khas yang akan bekerjasama dengan kontinjen di seluruh negara termasuklah dalam mengawasi pintu-pintu sempadan bagi mengelak suspek melarikan diri keluar negara.

"Polis amat mengalu-alukan bantuan daripada orang ramai untuk menyalurkan maklumat. Saya beri amaran mana-mana individu yang cuba bersubahat membantu penjenayah paling kejam itu, mereka akan dikenakan tindakan tegas mengikut Seksyen 212 Kanun Keseksaan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Penyelarasan Sempena Persidangan Agung Pusat Persatuan Pegawai Kanan Polis/Cawangan Pegawai Diwartakan (PPKP/CPW), Persatuan Pegawai Kanan Polis/Cawangan Inspektor (PPKP/CI) dan Persatuan Pegawai Rendah Polis (PPRPD) ke-86 di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Polis negeri, Datuk Sharifuddin Ab. Ghani dan Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Omar Osman.

Ditanya kemungkinan polis akan meminta bantuan Polis Antarabangsa (Interpol) bagi mengesan suspek, Mohd. Bakri berkata, setakat ini belum ada keperluan untuk berbuat demikian.

"Pada masa kini, kita belum memerlukan bantuan Interpol dan berharap orang ramai yang ada maklumat segera tampil membantu," ujarnya.

Dalam kejadian di USJ Sentral, Subang Jaya, pukul 6.20 petang itu, Norazita Abu Talib 37, maut akibat ditembak di bahagian kepala dari jarak dekat oleh pengawal keselamatan tempat kerjanya.

Suspek kemudian melarikan wang tunai RM450,000 dari bilik kebal bank berkenaan yang sebelum itu dibuka oleh mangsa untuk menyimpan wang.

Dalam usaha memburu suspek, setakat ini polis menahan tiga individu termasuk seorang wanita dipercayai isteri lelaki itu pada hari kejadian kerana turut bersubahat dan menemukan wang tunai RM20,000. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment