My Add

Wednesday 30 October 2013

PKMM janji bantu penduduk Sg. Limau jika BN menang

KUALA LUMPUR, SELASA, 29 Oktober, 2013: Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) Pusat dan cawangan negeri komited untuk terus membantu penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau, Kedah sekiranya memberi kemenangan kepada Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil (PRK) kawasan tersebut.

Presidennya, Datuk Mokhtar Samad memberitahu, masih banyak pembangunan yang perlu dibina di kawasan tersebut, khususnya melibatkan kemudahan asas untuk kegunaan penduduk.

Jelasnya, PKMM juga akan membantu Dr. Ahmad Sohaimi Lazim sekiranya calon BN itu menang dalam memastikan penduduk Sungai Limau menikmati pembangunan lebih baik.

"PKMM sentiasa mengadakan pelbagai program di seluruh negara termasuk mengecat dan membaiki rumah golongan tidak berkemampuan sebagai salah satu program tanggungjawab sosial korporat (CSR) persatuan.

"Saya berjanji sekiranya BN menang, lebih banyak program seperti itu akan dilaksanakan di DUN Sungai Limau selepas PRK itu," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

PRK DUN Sungai Limau pada 4 November ini menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon BN dengan Pas.

BN diwakili bekas pensyarah kanan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr. Ahmad Sohaimi, 52, manakala Pas (Ketua Pemuda Jerai, Mohd. Azam Abd. Samat, 37, yang juga Pengarah Pusat Asuhan Tunas Islam Kedah).

Mengulas lanjut, Mokhtar juga yakin gelombang sokongan pengundi di Sungai Limau mampu memberikan kemenangan calon BN.

"Sokongan pengundi di sana jelas menunjukkan perkembangan positif dan tidak mustahil Ahmad Sohaimi mampu mencipta kejutan.

"Bagaimanapun, diharapkan sokongan yang ditunjukkan kali ini kepada BN dapat diterjemahkan oleh pengundi pada hari pengundian nanti," ujarnya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment