My Add

Wednesday 30 October 2013

Lelaki 105 tahun sambut ulang tahun kelahiran bersama 100 cucu, 60 cicit

 *KINTAN Mat (duduk berkerusi roda) bergambar kenangan bersama Shahrul Zaman Yahya (tengah) serta anak-anak, cucu-cicit dan piutnya di Dewan Orang Ramai Batu 20, Bagan Pasir, Bagan Datoh, Perak, semalam.
BAGAN DATOH, SELASA, 29 Oktober, 2013: Seorang lelaki yang dipercayai antara tertua di negara ini menyambut ulang tahun kelahiran ke-105 bersama sembilan anak, 100 cucu dan 60 cicitnya di sini baru-baru ini.

Lelaki tersebut, Kintan Mat yang berasal dari Kampung Tebuk Haji Wahab, Batu 20, Bagan Pasir di sini, diraikan kira-kira 500 ahli keluarganya dalam majlis tersebut yang diadakan di Dewan Batu 20.

Kintan yang berkerusi roda menitiskan air mata kerana begitu terharu melihat semua ahli keluarganya dari tiga generasi dapat berkumpul beramai-ramai dalam majlis meraikan hari lahirnya.

Malah, sebahagian besar ahli keluarganya turut menitiskan air mata kerana terharu masih berpeluang bersua muka dengan Kintan yang banyak berkorban untuk membesarkan anak-anak suatu ketika dahulu.

Menurut anak sulung Kintan, Robaya, 70, ayahnya cukup menjaga pemakanan dan hanya memakan makanan kampung seperti sayur pucuk ubi, kangkung, ikan haruan dan keli serta air suam untuk kekal sihat.

Katanya, hanya sekali-sekala sahaja ayahnya mencuba makanan lain dan itu pun sekadar untuk merasa.

"Ayah juga mengamalkan gaya hidup sihat dengan mendapatkan waktu tidur yang cukup serta tidak merokok. Mungkin itu antara sebab usia ayah panjang," katanya ketika ditemui di sini.

Robaya berkata, ayahnya juga tidak menghidap penyakit yang biasa dihidapi orang yang sudah berusia seperti kencing manis, darah tinggi dan jantung.

"Matanya juga masih boleh melihat dan telinganya juga boleh mendengar. Cuma, ayah tidak mampu berdiri lama kerana faktor usia," katanya.

Dalam majlis tersebut, pelbagai acara diadakan seperti bacaan doa selamat, tahlil, upacara memotong kek, persembahan, suai kenal dan cabutan bertuah bagi memeriahkan suasana.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia negeri, Datuk Shahrul Zaman Yahya yang turut hadir dalam majlis tersebut berkata, program berkenaan perlu digalakkan bagi memberi kesedaran kepada generasi muda supaya mengenang jasa dan pengorbanan generasi terdahulu terutama ibu bapa mereka.

"Ini juga budaya orang Melayu yang kita perlu teruskan supaya generasi muda sentiasa mengingati dan menghormati ibu bapa mereka," ujarnya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment