My Add

Wednesday 30 October 2013

Penganalisis Singapura lihat Bajet 2014 sebagai berani

SINGAPURA, SELASA, 29 Oktober, 2013: Bajet 2014 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, menerima maklum balas positif oleh penganalisis di Singapura, kata Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Singapura, Datuk Husni Zai Yaacob.

"Berdasarkan maklumat balas semasa bertemu para penganalisis di sini, mereka secara umumnya menyifatkan cadangan dalam bajet, termasuk usaha kerajaan menangani hutang fiskal, sebagai langkah berani dan berhemat," katanya semasa diminta mengulas Bajet 2014.

Dalam pertemuan dengan agensi penarafan di sini, Husni Zai berkata, beliau dimaklumkan bahawa kerajaan telah mengambil langkah yang tepat dan ia tidak akan memberi impak ke atas penarafan negara Malaysia.

Mengenai kenaikan cukai keuntungan harta tanah (RPGT) daripada 15 peratus kepada 30 peratus ke atas hartanah yang dijual dalam tempoh tiga tahun pertama, berkata penganalisis berpendapat ia dapat membendung spekulasi hartanah.

Beliau berkata, kenaikan RPGT tidak menjejaskan permintaan.

"Mereka yang mahu melabur untuk tempoh masa panjang, tidak perlu bimbang," kata Husni Zai.

Dalam pembentangan Bajet 2014 pada Jumaat, RPGT akan dinaikkan kepada 30 peratus bagi hartanah yang dilupuskan dalam tempoh tiga tahun pertama bagi individu dan koperasi berbanding 15 peratus sebelumnya.

RPGT bagi kedua-dua individu dan Korporat dinaikkan kepada 20 peratus untuk hartanah yang dijual dalam tempoh empat tahun dan 15 peratus hartanah yang dilupuskan dalam tempoh lima tahun.

Bagi hartanah yang dilupuskan dalam enam tahun dan seterusnya, RPGT tidak dikenakan ke atas individu namun syarikat dikenakan cukai lima peratus.

Mengenai cukai barangan dan perkhidmatan (GST), pesuruhjaya tinggi itu berkata, dalam pertemuan dengan pegawai republik ini, saya dimaklumkan Malaysia mempunyai kelebihan memandangkan GST yang akan dilaksanakan bukan cukai baharu atau cukai tambahan.

"Pegawai itu berkata GST merupakan cukai baharu semasa ia diperkenal di Singapura," kata Huzni Zai.

GST diperkenal di Singapura pada 1 April 1994, dan kadar semasa yang dikenakan ialah tujuh peratus.

Dalam Bajet 2014 cukai jualan dan perkhidmatan akan dimansuhkan dan digantikan dengan GST pada 1 April 2015, pada kadar enam peratus, paras terendah di rantau ini. - BERNAMA 

No comments:

Post a Comment