My Add

Thursday 31 October 2013

RM180j dibelanja bersih tasik, empangan di Cameron Highlands

 * MAXIMUS Ongkili (dua dari kiri) meninjau kawasan yang mengalami kerosakan akibat bencana banjir lumpur di Lembah Bertam, Ringlet, Cameron Highlands, semalam.
CAMERON HIGHLANDS, RABU, 30 Oktober, 2013- Tenaga Nasional Berhad (TNB) membelanjakan lebih RM180 juta sejak lima tahun lalu untuk membersihkan Tasik Ringlet dan Empangan Hidro Elektrik Sultan Abu Bakar di sini yang tercemar akibat penerokaan hutan secara berleluasa di kawasan berkenaan.

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili berkata, daripada jumlah itu, sebanyak RM80 juta adalah kerja-kerja pengorekan utama mendapan keladak manakala RM20 juta untuk penyelenggaraan tahunan.

Beliau berkata, TNB mengeluarkan sebanyak 350,000 meter padu keladak dari Tasik Ringlet setiap tahun, namun usaha itu tidak mampu mengatasi jumlah pengumpulan bahan itu di tasik berkenaan yang dianggarkan 500,000 meter padu setahun.

Selain itu, kata beliau, sejumlah RM300,000 diperuntukkan setiap tahun untuk membersihkan permukaan dan dasar tasik itu daripada sampah sarap seberat kira-kira 200 tan metrik setahun.

“Ini merupakan peruntukan yang besar untuk mengawal masalah pencemaran tasik ini bagi mengelak banjir seperti yang berlaku di Lembah Bertam baru-baru ini.

“Namun, jika keadaan penerokaan hujan tidak dikawal, tasik akan terus dicemari dengan keladak atau lumpur. Ini menyebabkan peruntukan yang dibelanjakan tidak berhasil," katanya.

Beliau ditemui selepas mendengar taklimat dari TNB, majlis penyampaian bantuan berjumlah RM200,000 kepada mangsa banjir lumpur di Sungai Bertam dan lawatan ke Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina Bertam Valley di sini hari ini.

Turut serta dalam lawatan tersebut ialah Presiden yang juga Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Seri Ir. Azman Mohd. dan Naib Presiden TNB (Bahagian Penjanaan), Zainuddin Ibrahim.

Mengenai banjir lumpur di Lembah Bertam di sini pada 23 Oktober lalu yang mengorbankan empat nyawa, Maximus berkata, kejadian itu berpunca daripada empangan tersebut yang tercemar sehingga tidak mampu menampung kapasiti air.

“Buat pertama kali dalam sejarah, air dari Tasik Ringlet mencatat peningkatan paras air yang begitu drastik iaitu 1.96 kaki padu air dalam tempoh sejam. Jumlah itu adalah tiga kali ganda daripada keadaan biasa pada musim tengkujuh.

“Jadi, tindakan segera perlu diambil bagi mengawal aktiviti pembangunan di kawasan hulu sungai bagi memastikan Empangan Hidro Elektrik Sultan Abu Bakar beroperasi dengan baik," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment