My Add

Wednesday 30 October 2013

BN martabat pendidikan Islam

 * MUHYIDDIN Yassin (duduk, dua kanan) beramah mesra dengan pelajar-pelajar dalam program Sepetang Bersama Timbalan Perdana Menteri di Maahad Tahfiz Madrasah Mazahirul Ulum, Bukit Choras, Yan, Jerai, semalam.
JERAI, SELASA, 29 Oktober, 2013: Kerajaan Barisan Nasional (BN) sentiasa memberi komitmen penuh untuk memartabatkan pendidikan dan syiar Islam agar memastikan Malaysia terus muncul sebagai negara Islam contoh di peringkat dunia.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perkara itu dapat dibuktikan menerusi pelaksanaan dasar-dasar dan undang-undang yang selari dengan syariat Islam selama ini.

Malah, katanya, kerajaan khususnya Kementerian Pendidikan sejak dahulu turut mengambil pelbagai inisiatif membangunkan institusi pengajian berteraskan Islam daripada peringkat rendah sehinggalah paling tinggi.

"Kerajaan sememangnya menyokong penuh penuh inisiatif membina institusi Pendidikan Islam. Kita telah bangunkan banyak institusi bagi memastikan soal akidah, akhlak dan moral serta kehidupan kita sebagai umat Islam dipelihara.

"Tidak hairanlah ramai termasuk dalam kalangan pemimpin negara asing telah menjadikan Malaysia sebagai negara Islam contoh dan ini terus menjadi antara agenda utama kita," tegasnya ketika berucap dalam majlis Sepetang Bersama Timbalan Perdana Menteri di Maahad Tahfiz Madrasah Mazahirul Ulum, Bukit Choras, di sini hari ini.

Yang turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Pengerusi Madrasah Mazahirul Ulum, Shahrul Nizam Salleh.

Muhyiddin berkata, kerajaan juga memainkan peranan aktif dalam memastikan umat Islam di negara ini mempunyai kekuatan dalam pelbagai bidang termasuklah ekonomi.

"Dalam soal pembangunan ekonomi misalnya, segala inisiatif dilaksanakan oleh pimpinan. Kita buat pelbagai usaha untuk tentukan umat Islam sentiasa kuat, kukuh dan mempunyai taraf hidup baik.

"Contohnya adalah penubuhan institusi Bank Islam, Lembaga Tabung Haji, Takaful dan sistem perbankan berteraskan Islam," jelasnya.

Terdahulu, beliau mengimamkan solat asar bersama penduduk setempat di Masjid Bukit Choras.

Dalam majlis berkenaan, Timbalan Perdana Menteri turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM350,000 untuk pembinaan bangunan Madrasah dan RM50,000 lagi untuk memperbaiki jalan kampung Bukit Choras. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment