My Add

Wednesday 30 October 2013

Lelaki lembam mati terperangkap kebakaran

* EMPAT anggota forensik kebakaran Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia memeriksa sisa kebakaran sebuah rumah yang mengorbankan seorang lelaki yang dipercayai lembam di Kampung Parit Haji Naib Khadir di Bukit Pasir dekat Muar, Johor, awal pagi semalam. - UTUSAN/ISHAK RAHMAD
PAGOH, SELASA, 29 Okt Seorang lelaki lembam ditemukan rentung selepas terperangkap seorang diri dalam kebakaran di rumah milik keluarganya di Lorong Ahmad, Kampung Parit Naib Kadir, dekat sini tengah malam tadi.

Dalam kejadian pukul 12.05 tengah malam itu, Hafizi Ahmad, 40, dipercayai sedang tidur dan tidak sedar semasa berlaku kebakaran tersebut sebelum cuba menyelamatkan diri melalui pintu dapur tetapi gagal.

Kakak mangsa, Rashidah, 47, yang tinggal kira-kira 100 meter dari rumah tersebut bersama bapa, Ahmad Jambari, 78, dan ibu, Hasnah Wagih, 67, mengetahui insiden itu apabila dimaklumkan jirannya setelah ternampak api sedang marak.

"Saya dan penduduk kampung cuba untuk memadamkan kebakaran, tetapi api marak ke segenap sudut dan ruang rumah. Kami tidak dapat berbuat apa-apa, hanya mendengar jeritan mangsa memanggil abah dan emak. Saya hanya berserah dan reda dengan keadaan itu.

"Mayat Hafizi ditemukan di bahagian dapur berdekatan bilik air selepas kebakaran berjaya dipadamkan. Dipercayai kebakaran berpunca daripada api rokok tetapi tidak dapat dipastikan," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Menurut Rashidah, mangsa yang merupakan anak kelima daripada tujuh beradik sejak akhir-akhir ini kuat merokok selain turut menunjukkan tanda pelik seperti mengamuk menyerang bapa mereka dan mendakwa sering melihat 'kehadiran' arwah abang iparnya.

Katanya, kali terakhir bertemu mangsa adalah semasa datang ke rumahnya pukul 5.30 petang semalam, tetapi tingkah lakunya amat membimbangkan kerana menumbuk bapanya selepas dipercayai terdengar satu 'bisikan'.

"Sebelum ini ibu dan ayah tinggal di rumah yang terbakar itu, tetapi apabila melihatkan Hafizi yang mula agresif dan cuba mencederakan ibu, saya minta mereka tinggal di rumah saya untuk sementara kerana bimbang keselamatan mereka," katanya.

Selain itu, ujar Rashidah, Hafizi juga beberapa kali mendakwa 'melihat' arwah suaminya, Baharudin Abdullah yang meninggal dunia tahun lalu sejak kebelakangan ini di rumahnya dan menyatakan perkara itu kepada keluarganya.

Rashidah memberitahu, jenazah adiknya selamat dikebumikan kira-kira pukul 11 pagi ini di Tanah Perkuburan Islam Permatang Pasir, di sini.

Sementara itu, Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Muar, Johar Tumin berkata, seramai 12 anggota bersama dua jentera dikejarkan ke tempat kejadian sebaik sahaja menerima panggilan kecemasan pukul 12.20 tengah malam.

"Kita tiba di tempat kejadian kira-kira lapan minit kemudian, tetapi rumah berkenaan sudah musnah terbakar. Faktor keadaan rumah separuh papan memudahkan api marak dengan cepat dan kita berjaya memadamkan keseluruhan kebakaran pukul 1 pagi.

"Punca sebenar kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment