My Add

Wednesday 30 October 2013

Adik ipar Mufti Perak jemaah ke-18 meninggal dunia di Tanah Suci

PARIT BUNTAR, RABU, 30 Oktober, 2013: Sabli Jamaidi, 68, adik ipar kepada Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria merupakan jemaah haji Malaysia ke-18 meninggal dunia akibat serangan jantung pada Isnin lepas.

Allahyarham menunaikan haji bersama-sama isteri Hamsah Zakaria, 66, serta tujuh saudaranya, dilaporkan meninggal dunia di penginapannya di Al-Bisyra Mawaddah, Makkah pukul 6.10 pagi (waktu Arab Saudi).

Jenazah Allahyarham diuruskan petugas Tabung Haji dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Syaraiee, Makkah.

Pengerusi Lembaga Tabung Haji, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim yang melawat keluarga Allahyarham di Kampung Tanah Kebun di sini merakamkan ucapan takziah kepada keluarganya dan berharap mereka diberikan kekuatan dan kesabaran dalam menghadapi ujian dan kehilangan insan tercinta.

Abdul Azeez turut menyerahkan sumbangan khairat kematian Tabung Haji kepada anak arwah, Mohamad Bahtiar, 29.

Sementara itu, anak arwah, Huzaitul Fadilah, 42, berkata, beliau menerima berita itu pada 11 pagi Isnin lalu, selepas dimaklumkan sepupunya yang turut berada di tanah suci.

"Di tanah suci arwah kerap telefon saya dan tanya khabar. Kali terakhir Allahyarham menghubungi saya pukul 2 petang Jumaat lepas dan ketika itu ayah tidak sihat dan mengalami batuk-batuk," katanya dan menambah arwah merupakan Tok Siak di surau di kampungnya.

Huzaitul yang terkejut dengan pemergian ayahnya itu berkata, Allahyarham mempunyai penyakit darah tinggi namun sebelum ke tanah suci tekanan darahnya stabil.

"Saya tidak sangka ayah akan pergi buat selama-lamanya kerana ketika saya hantar dia dan mak di Kompleks Tabung Haji Kelana Jaya dia kelihatan ceria," katanya. - BERNAMA 

No comments:

Post a Comment