My Add

Wednesday 30 October 2013

Angka korban St. Jude 16 orang

 * SEBUAH karavan musnah teruk dihempap pokok tumbang akibat ribut St. Jude di Hever, Kent, mengorbankan seorang gadis, Bethany Freeman, ketika dia sedang tidur, kelmarin. - Agensi
LONDON, SELASA, 29 Oktober, 2013: Kira-kira 61,000 buah rumah masih terputus bekalan elektrik ekoran ribut paling buruk membadai Britain dalam tempoh sedekad dan beberapa negara Eropah, ketika angka korban akibat bencana itu meningkat kepada 16 orang, hari ini.

Pihak berkuasa masih bertungkus-lumus membersihkan runtuhan kediaman dan pokok tumbang, manakala jurutera bekerja keras memulihkan bekalan elektrik, dan perkhidmatan kereta api beransur pulih seperti biasa.

Ribut yang digelar sebagai St. Jude yang melanda Britain semalam, menyebabkan kemusnahan yang teruk selain gangguan lalu lintas, perkhidmatan kereta api, udara dan laut.

Perkhidmatan Kereta Api Kebangsaan dalam kenyataannya menyatakan, pihaknya masih belum pasti operasi perkhidmatan tersebut boleh disambung semula hari ini, namun para pengguna boleh memeriksa perjalanan mereka dengan operator.

Bagaimanapun perkhidmatan feri dari Dover masih ditangguhkan ekoran keadaan laut yang bergelora.

Agensi Alam Sekitar memaklumkan, ribut St. Jude yang kini menuju ke Scandinavia, mula reda, namun berpuluh-puluh kawasan di selatan England diramal masih berdepan ancaman banjir ekoran hujan lebat.

Pihak insurans masih menilai tahap kerugian dan masih terlalu awal untuk dibandingkan dengan kerugian berpuluh-puluh bilion yang ditanggung akibat bencana lain sebelum ini.

Dalam pada itu, angka kematian disahkan meningkat kepada 13 orang dengan kebanyakan mangsa maut akibat dihempap pokok tumbang.

Antara yang terbunuh termasuk enam rakyat Jerman, lima rakyat Britain, serta masing-masing satu dari Belanda dan Denmark. - AGENSI/UTUSAN 

No comments:

Post a Comment