My Add

Wednesday 30 October 2013

PM Britain puji Malaysia

LONDON, SELASA, 29 Oktober, 2013: Perdana Menteri Britain, David Cameron berkata, konsep kesederhanaan yang dianjurkan oleh Malaysia di bawah kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak telah membantu memerangi ekstremisme di seluruh dunia.

Katanya, Gerakan Kesederhanaan Global cetusan idea Perdana Menteri itu telah menjadi inspirasi kepada dunia untuk menolak ekstremisme dan mempromosikan kesederhanaan.

"Perdana Menteri Najib yang baru dipilih (semula) sebagai pemimpin melalui Gerakan Kesederhaaan Globalnya telah memberi inspirasi kepada dunia untuk memerangi ekstremisme," katanya ketika berucap dalam Forum Ekonomi Dunia Islam (WIEF) Ke-9 di sini hari ini.

Cameron berkata, komitmen Najib terhadap bidang perniagaan pula telah membawa pelaburan bernilai jutaan pound dan ribuan peluang pekerjaan baharu di kedua-dua negara.

Sementara itu, Perdana Menteri Britain turut mengambil kesempatan daripada penganjuran WIEF di sini untuk mempromosikan London sebagai pusat kewangan Islam dunia di luar dunia Islam.

Cameron dalam ucapannya itu mengumumkan tiga langkah yang diambil oleh kerajaan Britain bagi memastikan sasaran itu tercapai.

Ini termasuk melancarkan indeks baharu di Bursa Saham London yang selari dengan prinsip Islam dengan sasaran untuk memanfaatkan pertumbuhan pesat dalam sektor itu.

Cameron berkata, cadangan Indeks Pasaran Islam itu akan mengenal pasti syarikat-syarikat yang mematuhi prinsip pelaburan dalam Islam yang mana itu akan membantu London menjadi pusat kewangan Islam terbesar di luar dunia Islam.

Beliau juga mengumumkan pelancaran British Sukuk bernilai kira-kira RM1 bilion awal tahun depan yang akan menjadikan Britain sebagai negara pertama berbuat demikian di luar dunia Islam.

"Apabila kewangan Islam tumbuh 50 peratus lebih cepat daripada perbankan konvensional, dan ketika pelaburan Islam tumbuh kepada RM6.7 trilion menjelang 2014, kami mahu memastikan sebahagian besar daripada pelaburan baharu itu dilakukan di sini, di Britain," katanya

Inisiatif untuk melancarkan British Sukuk telah bermula lima tahun lalu tetapi ditolak pada 2011 sebelum Perbendaharaan British menilai semula idea itu pada Mac lalu.

Katanya, Bursa Saham London telah menyenaraikan sukuk dengan nilai lebih RM100 bilion sejak lima tahun lalu dan pada tahun depan bursa itu akan melancarkan sukuknya sendiri. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment