My Add

Wednesday 30 October 2013

Suami isteri didakwa seleweng lebih RM1 juta

PETALING JAYA, SELASA, 29 Oktober, 2013: Sepasang suami isteri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 23 pertuduhan menyalahgunakan serta melakukan pecah amanah wang syarikat melibatkan kerugian lebih RM1 juta, lima tahun lalu.

Wong Yeong Chai, 39, sebagai pengarah pembinaan di syarikat MJ Concept Sdn. Bhd. didakwa atas 14 pertuduhan menyalahgunakan harta syarikat dengan memindahkan wang majikannya itu melalui 14 keping cek berasingan kepada syarikat miliknya, CJ Concept Sdn. Bhd.

Kesemua 14 pertuduhan itu didakwa dilakukan di di No. 29, PUJ 2/29, Taman Puncak Jalil, Bandar Seri Putra Permai, Seri Kembangan di sini pada 19 Januari 2009.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat dan boleh didenda jika sabit kesalahan.

Sementara isterinya, Tee Siok Lan, 39, yang bekerja sebagai eksekutif akaun di syarikat yang sama didakwa atas sembilan pertuduhan melakukan pecah amanah dengan mengambil wang milik majikannya untuk kegunaan sendiri.

Perbuatan itu didakwa dilakukan pada 22 September 2008 di tempat yang sama.

Siok Lan didakwa mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 14 tahun dan sebat serta boleh didenda.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Dalira Din manakala pasangan tersebut tidak diwakili peguam bela.

Dalam rayuan untuk mengurangkan jumlah jaminan yang ditawarkan oleh pihak pendakwaan, pasangan itu memberi alasan bahawa mereka tidak berkemampuan serta terikat dengan banyak hutang.

“Kami juga terpaksa berpindah dari satu tempat ke satu tempat yang lain kerana sering diganggu ah long. Kalau Yang Arif (Hakim) tidak memberi jumlah ikat jamin yang munasabah kami terpaksa duduk di penjara,’’ kata Siok Lan.

Hakim Abu Bakar Manat kemudian membenarkan Yeong Chai diikat jamin RM97,000 bagi kesemua 14 pertuduhan manakala isterinya RM36,000 bagi kesemua sembilan pertuduhan, masing-masing dengan seorang penjamin.

Mahkamah juga memerintah pasport kedua-dua tertuduh diserahkan ke mahkamah sebagai syarat tambahan.

Sebutan kes ditetapkan pada 28 November ini. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment