My Add

Sunday 17 June 2012

200 atlet mahasiswa berkampung di UPM

KUALA LUMPUR, SABTU, 16 Jun, 2012: Seramai 200 atlet mahasiswa akan menyertai kem latihan pusat di Universiti Putra Malaysia (UPM) di sini sebagai persiapan Temasya Sukan Universiti Asean (AUG) 2012 di Laos, Disember nanti.

Penyelaras Media Bahagian Sukan Kementerian Pengajian Tinggi, Nur Ekmal Buhary berkata, latihan akan berlangsung dari 2 hingga 7 Julai ini.

"Diharap bilangan atlet mahasiswa akan bertambah selepas ini kerana tarikh pendaftaran atlet masih dibuka dan ditutup menjelang Oktober depan, dua bulan sebelum tarikh kejohanan bermula," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata, beberapa atlet elit negara telah mengesahkan untuk menggalas cabaran di Laos seperti Khoo Cai Lin dan Daniel Bego bagi acara renang dan Ryan Chong, taekwando.

"Kita harap lebih ramai atlet berstatus elit akan bersama kontinjen negara ke kejohanan itu nanti," katanya.

Menurut beliau lagi, antara acara yang akan disertai kontinjen mahasiswa negara ialah bola sepak, badminton, olahraga, renang, taekwando, karate, silat, ping pong, tenis, memanah, sepak takraw dan petanque.

Pada edisi AUG di Chiangmai, Thailand pada 2010, Malaysia berjaya menduduki tangga ketiga dengan kutipan 37 pingat emas, 36 perak dan 44 gangsa. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment