My Add

Monday 25 June 2012

Agong serah watikah pelantikan kepada duta

KUALA LUMPUR, ISNIN, 25 Jun, 2012: Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah, hari ini berkenan menyerahkan Watikah Pelantikan kepada empat Duta Besar dan tiga Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke luar negara di Istana Negara di sini. 

Duta Besar berkenaan ialah Datuk Nik Mustafa Kamal Nik Ahmad ke Romania, Datuk Jamaluddin Sabeh ke Poland, Datuk Ahmad Anwar Adnan ke Emiriah Arab Bersatu (UAE), dan Mohd Zulkephli Mohd Noor ke Turkmenistan.
Pesuruhjaya Tinggi pula ialah Rosmidah Zahid (New Zealand), Dr Hasrul Sani Mujtabar (Pakistan) dan Norlin Othman (Bangladesh).

Menurut kenyataan Kementerian Luar, Nik Mustafa sebelum menjadi Duta Besar Malaysia ke Romania adalah Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Nigeria dari 2009 hingga 2012. 

Beliau pernah menyandang jawatan sebagai Konsul Jeneral Malaysia di Davao City, Filipina dari 2007 hingga 2009 dan Penasihat Kedutaan di Kedutaan Besar Malaysia di Tehran, Iran dari 2002 hingga 2004. 

Jamaluddin pula berkhidmat sebagai Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Bangladesh dari 2009 hingga 2012. 

Beliau pernah menyandang jawatan sebagai Penasihat Kedutaan di Kedutaan Besar Malaysia di Bucharest, Romania dari 2004 hingga 2007 dan Konsul Jeneral Malaysia di Bandar Ho Chi Minh, Vietnam dari 2001 hingga 2004. 
Ahmad Anwar pula adalah Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Pakistan dari 2009 hingga 2012. 

Beliau pernah menyandang jawatan Timbalan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Singapura (2008-2009), Konsul Jeneral Malaysia di Los Angeles (2005-2008) dan Penasihat Kedutaan di Kedutaan Besar Malaysia di Vienna, Austria (1998-2002). 

Zulkephli pula adalah Setiausaha Bahagian Tugas-Tugas Khas mengenai Afrika Utara dari 2001 hingga 2012. 

Beliau juga pernah menjadi Duta Besar Malaysia ke Libya (2009-2011) dan Konsul General Malaysia di Los Angeles (2002-2005). 

Rosmidah pernah menjadi Duta Besar Malaysia ke Poland dari 2007 hingga 2012. 

Beliau juga menyandang jawatan Menteri Penasihat di Suruhanjaya Tinggi Malaysia 
di Wellington, New Zealand (2000-2004), Setiausaha Pertama di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Bandar Seri Begawan, Brunei Darussalam (1993-1997). 

Dr Hasrul Sani pula adalah Duta Besar Malaysia ke Algeria (2009-2012). 

Beliau juga pernah menyandang jawatan Penasihat Kedutaan di Kedutaan Besar Malaysia di Jepun (2001-2005) dan Konsul di Konsulat Jeneral Malaysia di Los Angeles (1986-1989). 

Norlin pula adalah Konsul Jeneral Malaysia di Medan, Indonesia dari 2010 hingga sebelum dilantik ke jawatan sekarang. 

Beliau pernah menyandang jawatan Menteri Penasihat di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Delhi, India (2006-2010) dan Penasihat Kedutaan di Pejabat Wakil Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di New York (1999-2002). 

Terdahulu, Tuanku Abdul Halim turut menerima "Letter of Credence" daripada tiga bakal perwakilan dan duta besar asing ke Malaysia. 

Mereka adalah Marco Vinicio Balarezo Lizarzaburu, 55, dari Peru; Maria Auxiliadora Figueiredo, 62, dari Brazil; dan Tarik Bukvic, 46, dari Bosnia and Herzegovina. 

Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hajah Haminah, turut berangkat ke kedua-dua istiadat itu. 

Hadir sama ialah Timbalan Menteri Luar. Senator A Kohilan Pillay, dan Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Tan Sri Mohd Radzi Abdul Rahman. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment