My Add

Thursday 21 June 2012

Bayaran MAS kepada BinaFikir 117 kali lebih rendah

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 21 Jun, 2012: Bayaran yang dibuat oleh Malaysia Airlines (MAS) kepada BinaFikir Sdn Bhd pada 2002 berhubung penstrukturan semula syarikat penerbangan itu di bawah projek Widespread Assets Unbundling (WAU) berjumlah RM1,697,027.77. 

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Donald Lim Siang Chai, berkata jumlah fi yang dibayar kepada BinaFikir itu adalah kira-kira 117 kali lebih rendah daripada jumlah yang didakwa Wee Choo Keong (Bebas-Wangsa Maju).

Wee, dalam soalannya mendakwa fi konsultan yang dibayar oleh MAS kepada BinaFikir Sdn Bhd untuk projek WAU membabitkan wang sebanyak RM200 juta.

Lim berkata, pelaksanaan projek WAU diluluskan oleh pemegang saham MAS pada mesyuarat agung luar biasanya pada 5 Novwember 2002 bagi menyusun semula kewangan MAS. 

"Ia bertujuan menyediakan asas kewangan yang kukuh bagi membolehkan pihak pengurusan melaksanakan penstrukturan semula operasi yang lebih menyeluruh," kata beliau semasa menjawab soalan Wee pada persidangan Dewan Rakyat hari ini. 

Lim berkata, penstrukturan semula kewangan tidak boleh menjadi penyelesaian kekal bagi sesebuah syarikat kerana syarikat harus berada pada kedudukan yang kukuh dari segi operasi serta menjana keuntungan operasi. 

Wee, dalam soalannya, juga ingin tahu sama ada Khazanah Nasional Bhd dan/atau syarikat berkaitan kerajaan (GLC) seperti MAS berhak untuk tidak memberi apa-apa maklumat yang diperlukan kepada Parlimen dan bahawa Khazanah dan/atau syarikat seperti MAS boleh kekal bersembunyi di bawah klausa "kerahsiaan" atau "tidak boleh didedahkan" sedangkan MAS menggunakan wang rakyat.

Mengenai hal itu, Lim berkata peruntukan kerahsiaan dan "tidak boleh didedahkan" adalah peruntukan standard/kebiasaan dalam sesuatu kontrak untuk melindungi kepentingan pihak-pihak terbabit dalam kontrak berkenaan. 

"Oleh yang demikian, pendedahan sebarang maklumat yang diklasifikasikan sebagai rahsia dalam sesuatu kontrak oleh mana-mana pihak tanpa persetujuan pihak-pihak lain dalam kontrak terlibat boleh memberi implikasi perundangan kepada pihak yang mendedahkan maklumat berkenaan kerana tidak mematuhi aku janji kerahsiaan," katanya 

Sungguhpun demikian, Lim berkata MAS sudah mendapatkan kelulusan sewajarnya daripada pihak perundingan yang berkaitan untuk memberi makluman kepada Parlimen mengenai beberapa perkara termasuk senarai 12 syarikat yang terbabit dalam kontrak lindung nilai bahan api dengan MAS. 

Dua belas syarikat itu ialah CIMB Bank Berhad, Standard Chartered Bank Malaysia Berhad, Barclays Bank PLC, Citibank Malaysia (L) Labuan dan Deutsche Bank.

Syarikat lain ialah J. Aron & Company (Sin) Pte (Goldman Sachs), JP Morgan Chase, Mitsui Energy Risk Mgt (Mitsui), Morgan Stanley Capital Group, Inc., Petro Diamond Risk Mgt Ltd (Mitsubishi corp), SocieteGenerale dan UBS Investment Bank. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment