My Add

Saturday 23 June 2012

Buku Irshad Manji: Berjaya Books berang pekerjanya didakwa

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 22 Jun, 2012: Berjaya Books Sdn. Bhd. yang merupakan pemilik rangkaian kedai buku Borders di Malaysia, berang dengan tindakan pihak berkuasa yang mendakwa seorang pekerjanya di Mahkamah Syariah baru-baru ini berhubung penyebaran buku tulisan penulis kontroversi, Irshad Manji.

Ketua Pegawai Operasi Berjaya Books, Yau Su Peng berkata, syarikat itu akan tetap mempertahankan pekerjanya, Nik Raina Nik Abdul Majid, 36, yang hanya menjalankan tugas sebagai Pengurus Stor di cawangan kedai buku itu.

"Sebagai pengurus setor, Nik Raina tidak mempunyai pengaruh atau kuasa untuk menentukan pilihan buku di Borders. Semasa serbuan dilakukan, buku yang dirampas itu belum diisytiharkan haram oleh Kementerian Dalam Negeri," katanya dalam kenyataan baru-baru ini.

Pada 19 Jun lalu, Nik Raina didakwa menjual buku tulisan Irshad bertajuk Allah, Kebebasan dan Cinta (Keberanian untuk menyelaraskan kebebasan dengan iman) yang merupakan terjemahan daripada buku asal Allah, Liberty and Love (The Courage to reconcile faith and freedom) yang bertentangan dengan hukum syarak.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di antara pukul 8.41 dan 9.45 malam, 23 Mei lalu di kedai buku Borders milik Berjaya Books Sdn. Bhd., Lot T-216B, Tingkat 3, The Gardens Mall, Mid Valley City, Lingkaran Syed Putra di sini.

Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 13(1) Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 yang memperuntukkan hukuman denda RM3,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

Irshad Manji yang berasal dari Kanada adalah seorang penulis wanita berfahaman Islam liberal yang memperjuangkan hak lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) melalui hasil tulisannya.

Menurut Su Peng, serbuan pihak Jawi pada 23 Mei lalu itu dilakukan sebelum buku berkenaan diisytiharkan haram oleh KDN dan pihak Borders juga tidak menerima sebarang fatwa haram daripada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) mengenainya.

Kata beliau, pihaknya difahamkan KDN telah mewartakan pengharaman buku tersebut pada 29 Mei lalu dan fakta mengenainya telah diterbitkan pada 14 Jun lepas.

"Berjaya Books memberi kerjasama penuh kepada siasatan Jawi walaupun syarikat ini tidak tertakluk dalam bidang kuasa Jawi berikutan ia bukan entiti muslim," katanya.

Jelasnya, pada 24 Mei lalu, pihak Jawi turut melakukan serbuan terhadap sebuah lagi cawangan Borders di kompleks beli-belah Bangsar Village 2, namun tiada rampasan buku yang dibuat selepas pemeriksaan.

Berikutan dua kes serbuan tersebut, pada 18 Jun lalu, Berjaya Books telah memfailkan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi mengenai tindakan Jawi itu dan telah menamakan Kementerian Dalam Negeri serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkenaan Hal Ehwal Islam sebagai responden.

"Tindakan Jawi terhadap pekerja Berjaya Books ini mungkin akan mempengaruhi syarikat dalam mengambil orang Islam sebagai pekerja pada masa mendatang," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment