My Add

Monday 18 June 2012

Bukti BN prihatin rakyat Pulau Pinang

NIBONG TEBAL, AHAD, 17 Jun, 2012: Pengumuman Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai rancangan membina rumah kos sederhana di Bukit Mertajam di sini, membuktikan sikap ambil berat kerajaan Barisan Nasional (BN) terhadap penduduk Pulau Pinang.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Zainal Abidin Osman berkata, Kerajaan Persekutuan tidak pernah lepas tangan terhadap kebajikan rakyat Pulau Pinang biarpun negeri itu diperintah DAP.

Menurutnya, kerajaan terus komited membawa pembangunan daripada sebesar-besar projek iaitu Jambatan Kedua Pulau Pinang sehingga kepada projek kecil seperti rumah mampu milik itu.

"Kita amat berbesar hati dengan pengumuman Timbalan Perdana Menteri untuk membina 250 unit rumah di Kampung Permatang Tok Subuh, Bukit Minyak dalam usaha membantu mengatasi masalah perumahan di Pulau Pinang.

"Projek itu akan dijalankan dalam masa terdekat di atas tanah milik Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda) di Bukit Mertajam," katanya kepada pemberita selepas merasmikan projek perumahan Perda di Taman Pancur Utama Fasa I dan pelancaran projek Fasa II di sini hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Perda, Datuk Azhar Ibrahim, Pengurus Besar Perda, Saringat Hassan dan Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Acheh, Datuk Mahmud Zakaria.

Muhyiddin dalam lawatannya ke Pulau Pinang semalam, mengumumkan pembinaan rumah itu sebagai maklum balas berhubung masalah perumahan di Pulau Pinang serta rungutan golongan bumiputera yang tidak berkemampuan memiliki rumah kerana harga yang terlalu mahal.

Tambah Zainal Abidin, rakyat Pulau Pinang perlu membuka mata dengan pelbagai kemajuan yang dibawa kerajaan Persekutuan ke negeri itu.

Jelasnya, banyak projek yang telah dan akan dijalankan kerajaan Pusat di Pulau Pinang tidak bermakna tanpa mandat daripada rakyat supaya mengembalikan kuasa kepada BN untuk memerintah negeri itu.

"Sekarang ini, kita kehilangan kuasa ke atas negeri ini kepada DAP, namun jika pemerintahan negeri dikembalikan kepada BN pastinya lebih banyak projek mampu dilaksanakan.

"Biarpun kita telah buat sejak 55 tahun lalu, namun masih banyak yang tertangguh dan perlu diteruskan sekiranya diberi mandat menerajui negeri ini," ujarnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment