My Add

Monday 18 June 2012

Dong Zong jangan keliru kaum Cina

Oleh SOFIAN BAHAROM
KUALA LUMPUR, AHAD, 17 Jun, W012: Persatuan Jawatankuasa Sekolah Cina Bersatu Malaysia (Dong Zong) diingatkan supaya tidak mengelirukan masyarakat Cina kononnya kerajaan mengetepikan sistem pendidikan kaum itu di negara ini.

Sebaliknya, Pengerusi Biro Politik dan Governans Majlis Perundingan Melayu (MPM), Datuk Seri Mohd. Hilmi Ismail menegaskan, kerajaan telah banyak bertolak-ansur dalam memastikan sekolah jenis kebangsaan itu terus maju dalam sistem pendidikan negara.

"Isu terbaru yang mereka timbulkan iaitu penubuhan sekolah swasta di Kuantan yang tidak dibenarkan Kementerian Pelajaran kerana gagal mematuhi peraturan asas sekolah di negara ini, sebenarnya hanya mahu dijadikan modal politik mereka menjelang pilihan raya.

"Meskipun kementerian tersebut sebelum ini telah membenarkan penubuhan sekolah seumpama itu di Pulau Pinang, mereka masih tidak berpuas hati. Saya mahu tegaskan di sini bahawa setiap kaum mempunyai tuntutan masing-masing, Dong Zong jangan mementingkan diri sendiri," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Baru-baru ini, Tan Sri Muhyiddin Yassin membidas Dong Zong yang menuduh Kerajaan Pusat mengetepikan sekolah jenis kebangsaan itu daripada sistem pendidikan negara.

Sambil menegaskan tuduhan itu tidak benar, Timbalan Perdana Menteri berkata, kerajaan memberi peruntukan sama rata kepada semua sekolah bantuan kerajaan sama ada ia Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) atau kebangsaan.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, ia terbukti apabila kerajaan memperuntukkan purata RM2.24 juta setahun untuk setiap SJKC, SJKT (RM1.99 juta) dan sekolah kebangsaan, RM2.26 juta.

Mohd. Hilmi menambah, kenyataan Timbalan Perdana Menteri itu membuktikan sudah banyak kerajaan bertolak ansur terhadap permintaan Dong Zong dalam memajukan pendidikan, justeru jangan dijadikan isu sekolah independent sebagai sebuah polemik.

Kata beliau, ugutan persatuan itu berhubung sekolah jenis tersebut kini jelas dilihat semata-mata untuk menangguk di air keruh terutama ketika tarikh pilihan raya semakin hampir, bukannya bagi memperjuangkan kepentingan pendidikan kaum itu.

Justeru, ujar beliau, Dong Zong sebaliknya perlu berperanan sebagai pihak yang dapat memantapkan perpaduan kaum agar negara ini stabil daripada sentimen perkauman sempit yang diperjuangkan mereka selama ini.

"Dong Zong perlu memikirkan kepentingan yang lebih besar lagi terhadap seluruh rakyat negara ini. Sebarang tuntutan perlulah berpada-pada dan tidak menyebabkan kaum lain terguris atas kelantangan tidak bertempat mereka.

"Dalam masa sama, pertubuhan-pertubuhan yang mewakili kaum Melayu juga jangan mendiamkan diri. Mereka sepatutnya memberi tunjuk ajar kepada Dong Zong agar negara ini kekal stabil," kata beliau. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment