My Add

Monday 25 June 2012

Dua lelaki pukul petinju negara didakwa

JOHOR BAHARU, ISNIN, 25 Jun, 2012: Dua lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dakwaan menyebabkan kecederaan parah ke atas peninju negara Muhamad Farkhan Mohd Haron, 24 pada Mei lalu.

Alex Foo Hee Wee, 41, dari Taman Sri Tebrau dan Tunku Nick Tazuddin Izwan Syah Tunku Qadir, 27, dari Istana Bukit Kesenangan, Jalan Abdul Samad bersama empat lagi individu yang masih bebas, didakwa melakukan kesalahan tersebut, antara 4.30 pagi hingga 7 pagi pada 6 Mei di No. 44, Jalan Molek 3/2, Taman Molek di sini.

Mereka yang menyebabkan kecederaan parah dengan menggunakan senjata tumpul didakwa di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama (Akta 574) yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan.

Timbalan Pendakwa Raya Dzul Iswari Mohd Jaafar memohon mahkamah mengenakan ikat jamin RM20,000 seorang ke atas tertuduh.

Bagaimanapun, Hakim Zamri Bakar membenarkan permohonan peguam pembela Mohamad Isa Mohamad Basir untuk membebaskan mereka dengan ikat jamin RM12,000 setiap seorang.

Zamri menetapkan 12 Julai sebagai tarikh sebutan semula kes.

Muhamad Farkhan yang pernah mememenangi pingat emas pada Sukan SEA Laos 2009, mengalami kecederaan di beberapa bahagian badan dipercayai akibat dipukul sekumpulan enam lelaki selepas menonton perlawanan akhir Piala FA Ke-131 antara Chelsea dan Liverpool.

Atlet kelahiran Johor itu telah dicalonkan sebagai Olahragawan Kebangsaan bagi Anugerah Sukan Negara Majlis Sukan Negara (MSN) 2011. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment