My Add

Friday 22 June 2012

Hati-hati wujud pesaing AirAsia

Oleh MARZITA ABDULLAH
KUALA LUMPUR, KHAMIS, 21 Jun, 2012: Cadangan menambah syarikat perkhidmatan penerbangan tambang murah di negara ini perlu dikaji terlebih dahulu bagi memastikan ia boleh dilaksana dan berdaya maju.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, mana- mana pihak yang berminat menyediakan perkhidmatan itu perlu membuat permohonan kepada kerajaan.

"Saya fikir kerajaan akan menimbangkan permohonan itu dan sudah tentu ia akan memberi faedah kepada lapangan terbang yang terlibat seperti Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA)," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan beberapa ahli Parlimen yang mencadangkan agar kerajaan memberi satu lagi lesen kepada syarikat lain untuk mengendalikan perkhidmatan sedemikian agar ia tidak dimonopoli oleh AirAsia Bhd. (AirAsia).

Sebelum itu, Dr. Mahathir merasmikan pelancaran Cabaran Basikal Bukit Antarabangsa Langkawi 2012 (LIMBC) yang turut dihadiri Ketua Eksekutif Human Voyage, Datuk Malik Mydin.

Menurut Dr. Mahathir, Malaysian Airline System Bhd. (MAS) sendiri telah mewujudkan Firefly berikutan sambutan menggalakkan daripada orang ramai terhadap penerbangan tambang murah.

"Dia nampak AirAsia maju dia pun adakan Firefly namun dalam hal ini kita nampak sekarang AirAsia yang lebih agresif," katanya.

Beliau turut mengingatkan bilangan syarikat yang mengendalikan perkhidmatan berkenaan tidak perlu terlalu banyak kerana ia mungkin akan merugikan syarikat terlibat.

"Jangan buat macam kedai nasi lemak, orang jual nasi lemak laku mereka pun nak buka kedai nasi lemak. Kalau ada 10 kedai orang nak makan, nak pergi mana. Kalau bahagi 10, semua bankrap," katanya.

Sementara itu beliau berkata, penganjuran LIMBC boleh membantu mempromosikan Langkawi sebagai destinasi pelancongan di negara ini.

"Saya harap LIMBC akan kekal di Langkawi dan berharap jangan pula ada pihak-pihak lain yang cuba membawa ia keluar dari pulau ini," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment