KUALA LUMPUR, JUMAAT, 22 Jun, 201: Kewujudan kem Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan kem Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor, Azmin Ali membuktikan parti tersebut kini berdepan dengan masalah perpecahan yang serius.
Malah keretakan dalaman PKR Selangor juga semakin kronik sehingga memaksa Rafizi Ramli meletak jawatan secara mengejut selaku Ketua Eksekutif Pejabat Penasihat Ekonomi negeri.
Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, perbalahan antara kedua-dua kem tersebut semakin serius dan wajar menjadi ingatan kepada rakyat Selangor agar membuat pilihan tepat dalam memilih sesebuah kerajaan.
"Saya percaya rakyat dan orang ramai boleh membuat pertimbangan berdasarkan apa yang berlaku sebab yang penting dalam menentukan sesebuah kerajaan, bukan sahaja soal kelangsungan pentadbiran tetapi parti yang dipilih juga mesti stabil dan kukuh.
"Apa yang jelas mutakhir ini perpecahan dalam PKR Selangor begitu serius, kalau tidak takkan ada orang (Rafizi) letak jawatan secara tiba-tiba," katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusi Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO di sini hari ini.
Ditanya apakah kemelut tersebut bakal menguntungkan UMNO dan memudahkan Barisan Nasional (BN) merampas semula Selangor, Najib yang juga Pengerusi BN negeri berkata, usaha untuk menawan negeri terkaya di Malaysia itu dibuat berdasarkan kerja keras dan kekuatan sendiri.
Dalam pada itu, mengenai kesediaan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz untuk menjadi orang tengah bagi mencadang kepada kerajaan agar pilihan raya umum dibuat hanya selepas lima tahun, Perdana Menteri berkata, semua pihak bebas menyuarakan pandangan.
Menurut beliau, tidak ada apa-apa peruntukan yang menyekat kerajaan pemerintah daripada melaksanakan pilihan raya umum lebih awal atau hanya berbuat demikian apabila sampai tempoh lima tahun.
"Terpulang kepada pertimbangan dan mengikut Perlembagaan yang menjadi acuan sistem kita. Perlembagaan negara membenarkan Perdana Menteri untuk menasihat Yang di-Pertuan Agong untuk membubar Parlimen mengikut budi bicara selagi tempoh itu tidak melebihi lima tahun," katanya. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment